Tidak perlu bergantung kepada AS

Tidak perlu bergantung kepada AS



mahanum_aziz@bh.com.my

Kuala Lumpur: Ekonomi Asia tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada Amerika Syarikat (AS) sebagai destinasi eksport utama, sebaliknya perlu membangunkan pasaran penggunanya sendiri, khususnya dalam kalangan negara anggota ASEAN, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.

Beliau berkata, kejayaan ekonomi Asia selama ini banyak bergantung kepada industri berorientasikan eksport, yang menjadikan rantau ini sebagai kuasa besar dalam sektor pembuatan dan membawa kekayaan luar biasa.

Bagaimanapun, katanya, pasaran eksport utama seperti AS dan Eropah kini berdepan cabaran seperti penyusutan kelas pertengahan serta populasi, yang secara langsung mengehadkan keupayaan mereka menyerap barangan dari Asia.

“Pada masa sama, ekonomi Asia telah membangunkan kapasiti pengeluaran yang besar, yang kini semakin melebihi permintaan dari pasaran tradisional.

“Ekonomi Asia tidak boleh selamanya menganggap AS sebagai destinasi eksport pilihan pertama dan terakhir. Kita perlu mewujudkan lebih banyak pasaran pengguna baharu, terutamanya dalam ASEAN,” katanya pada Persidangan Pemimpin Pemikir Ekonomi ASEAN: Tinjauan untuk 2025 di sini, hari ini.

Liew berkata, dalam tempoh dua dekad akan datang, ASEAN dijangka muncul sebagai masyarakat kelas pertengahan yang besar, menjadikannya bukan sahaja hab pengeluaran industri berorientasikan eksport, tetapi juga pasaran pengguna yang kukuh.

“Masyarakat kelas pertengahan di ASEAN akan mewujudkan pasaran yang besar untuk semua pihak, termasuk syarikat multinasional. Justeru, kita harus memanfaatkan potensi ini untuk membina masa depan ekonomi serantau yang lebih mampan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa dalam usaha membangunkan ekonomi, negara anggota ASEAN harus memastikan kelestarian iklim dan alam sekitar terus terpelihara.

“Pertumbuhan ekonomi ASEAN perlu diimbangi dengan usaha melindungi alam sekitar. Hanya dengan pendekatan seimbang ini, kita dapat memastikan kemakmuran jangka panjang untuk seluruh rantau,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top