PETALING JAYA: Ketiadaan aksi persahabatan antarabangsa membabitkan skuad Harimau Malaya pada jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bulan ini tidak seharusnya mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat.
Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali percaya kem latihan yang lebih panjang memberi ruang terbaik kepada pemain untuk memahami corak permainan dan tuntutan taktikal yang mahu diterapkan barisan kejurulatihan.
Menurutnya, walaupun perlawanan persahabatan sering dianggap medan terbaik mengukur kekuatan pasukan, latihan yang sistematik dan berintensiti tinggi tetap mampu menghasilkan impak besar terhadap pembentukan skuad.
“Sudah tentu aksi persahabatan penting kerana ia memberi peluang jurulatih menilai pasukan dalam situasi sebenar perlawanan. Namun, jika tiada perlawanan sekali pun, latihan yang dijalankan masih mampu meningkatkan keserasian dan kefahaman taktikal pemain.
“Apabila pemain dapat berkumpul dalam satu kem latihan untuk tempoh yang lebih lama, ia sebenarnya memberi manfaat kepada pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui pada Kejohanan MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2026 di sini, kelmarin.
Pandangan Safee hadir ketika timbul persoalan mengenai pendekatan beberapa pasukan Asia Tenggara yang memilih untuk tidak mengatur perlawanan pemanas badan sepanjang jendela antarabangsa kali ini, termasuk Malaysia dan Vietnam.
Setakat ini, tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat berhubung program atau aksi yang akan diharungi Harimau Malaya sepanjang tempoh kalendar FIFA yang berlangsung sehingga 9 Jun.
Perkembangan itu mencetuskan spekulasi bahawa skuad negara mungkin memberi tumpuan kepada sesi latihan tertutup sebagai persediaan menghadapi kempen Piala ASEAN yang bakal membuka tirainya bulan depan.
Dalam pada itu, Safee turut menegaskan soal kecergasan pemain tidak seharusnya menjadi isu kerana setiap pemain profesional memahami tanggungjawab untuk mengekalkan tahap prestasi terbaik meskipun liga sedang berehat.
“Pemain profesional tahu apa yang perlu dilakukan. Mereka perlu menjaga kecergasan dan memastikan tahap prestasi sentiasa berada pada tahap optimum.
“Dalam tempoh rehat selepas musim berakhir, mereka bukan sahaja perlu memulihkan tenaga, malah perlu membuat persediaan dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi cabaran musim baharu,” katanya.-UTUSAN






