PETALING JAYA: Kumpulan Insomniacks tidak berkecil hati apabila ada berpandangan populariti band mereka tidak kukuh sebaliknya hanya berlegar dalam kalangan peminat tertentu sahaja.
Jelas Insomniacks yang dianggotai Syed Mir Iqbal (Iqie), Wan Arif Iskandar (Iskandar), and Danial Lee Hashim (Danial), populariti bukanlah keutamaan band itu sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada kualiti karya.
“Kami lebih suka untuk memberi fokus kepada penyokong kerana merekalah khalayak sasaran kami. Itulah juga sebabnya kami buat muzik, iaitu untuk memberikan kepuasan kepada orang-orang yang menyukai muzik kami. Itupun sudah kejayaan besar buat kami.
“Kami tidak pernah ada niat untuk tapau agar satu dunia untuk suka. Kami bukan ‘people pleaser’.
“Kami hanya mahu buat muzik yang kami minat. Kami tidak mengejar populariti, kami cuma mahu buat konsert sahaja,” kata Iskandar mewakili Insomniacks ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas perjalanan kerjaya seni, Insomniacks bersyukur hasrat mereka untuk mengadakan konsert disambut baik oleh penganjur, SAH Entertainment.
Insomniacks bakal beraksi di dua konsert berskala besar iaitu Zepp, Kuala Lumpur pada 12 Julai depan diikuti Capitol Theatre, Singapura, pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.
“Kami sudah mengadakan persembahan di Singapura beberapa kali. Memang mereka harap kami akan datang lagi dan adakan konsert.
“Jadi semasa konsert itu nanti, kami akan menyanyikan lebih 20 lagu termasuk beberapa lagu ‘cover’. Kami mahu berikan kelainan yang tidak pernah penonton rasai sebelum ini.
“Kami terlibat memberi sumbangan idea kepada penganjur untuk konsert. Memang niat nak buat banyak benda gila, tapi kami kena fikirkan bajet. Kita lihat bagaimana,” tambahnya. -UTUSAN