‘Tidak pernah terlintas di hati bubar pasukan atau keluar liga’ – KDA FC

‘Tidak pernah terlintas di hati bubar pasukan atau keluar liga’ – KDA FC


KDA FC masih terus berjuang walaupun berdepan masalah kewangan. Foto KDA FC

KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) menegaskan bahawa mereka masih berusaha untuk kekal bersaing dalam Liga Malaysia sekali gus menepis dakwaan bahawa pasukan itu akan menarik diri musim depan.

Pemilik majoriti KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, berkata pihak pengurusan sedang giat memastikan semua syarat Perlesenan Kelab Liga Malaysia Football League (MFL) dipenuhi.

Menurutnya, KDA FC tidak pernah menghantar sebarang surat kepada pihak berwajib yang memberi gambaran bahawa pasukan itu mahu menarik diri daripada Liga Malaysia.

“Kami sentiasa berkomunikasi dengan pihak pengendali liga bagi memenuhi syarat dalam tempoh ditetapkan. Tidak pernah terlintas di hati kami untuk membubarkan pasukan atau keluar daripada liga,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Daud menegaskan bahawa Hijau Kuning akan terus berjuang demi memastikan tempat mereka dalam Liga Super musim hadapan.

Menurutnya, beliau turut berharap penyokong setia KDA FC kekal memberikan sokongan dan mendoakan yang terbaik buat pasukan yang penuh sejarah itu.

“Tiada yang sia-sia apabila kita berusaha dan berjuang. Yang sia-sia adalah apabila kita langsung tidak berusaha.

“Keputusan akhir adalah dalam ketentuan Allah SWT, tetapi kami akan terus berusaha,” ujarnya.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh penyokong Hijau Kuning dan berharap bulan Ramadan kali ini membawa keberkatan kepada semua.

Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, dalam sesi soal jawab bersama penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT), mendedahkan bahawa Sri Pahang dan KDA FC berkemungkinan besar tidak akan beraksi dalam Liga Super musim depan.



Source link

OR

Scroll to Top