Tidak rela mengemis, OKU jadi 'tauke' ikan pekasam

Tidak rela mengemis, OKU jadi 'tauke' ikan pekasam



am@hmetro.com.my

Jelebu: Tidak mahu menadah simpati dan mengharapkan belas ehsan atas kekurangan fizikal dialami. Semangat itu ditunjukkan Mohd Azri Abd Aziz, 45, yang tetap gigih mencari rezeki dengan menghasilkan ikan pekasam walaupun tanpa kaki kanan.

Tidak seperti resipi negeri lain yang menggunakan beras disangai atau digoreng sebagai bahan utama, ikan pekasam dihasil Azri hanya menggunakan garam kasar dan asam keping sebelum ikan diperap selama tujuh atau lapan hari.

Mohd Azri berkata, dia kehilangan kaki kanan selepas dipotong akibat penyakit kencing manis pada 2020.

Dia bagaimanapun tidak mahu menagih simpati ramai sebaliknya bangkit untuk mencari rezeki dan berusaha.

“Saya menggunakan resipi turun temurun menghasilkan ikan pekasam berusia 70 tahun. Ikan yang digunakan adalah ikan lampam sungai yang banyak terdapat di Sungai Triang berhampiran Kampung Sungai Buloh di sini.

“Saya sendiri akan memancing atau menjala bagi mendapatkan bekalan ikan ini,” katanya.

Mohd Azri berkata disebabkan kerap melakukan kerja lasak dalam mencari ikan untuk dijadikan pekasam, kaki palsu sumbangan Ahli Parlimen Jelebu semakin rosak sejak mula dipakai pada 2022.

Menurutnya, dalam tempoh sebulan dianggarkan sebanyak 20 kilogram ikan pekasam mampu dijual kepada orang ramai.

Katanya, ikan pekasam yang dijual bergantung kepada berapa banyak ikan lampam yang berjaya ditangkap.

“Saya tidak membeli ikan daripada orang lain kerana mahu memastikan ikan pekasam dijual masih pada harga berpatutan.

“Kebiasaan ikan pekasam ini dijual sekitar kampung dan licin sebaik ia memaklumkan dalam kumpulan WhatsApp,” katanya yang turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM450 sebulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top