nurul.hidayah@hmetro.com.my
Serdang: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menumpaskan satu sindiket pelacuran dalam serbuan di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, di sini, semalam.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan diketuai pegawai Khairil Anwar Mat Soud dan dibantu Bahagian Penguatkuasa Shah Alam dan Bahagian Penguatkuasa Pelabuhan Klang berlangsung pada 10 malam.
“Hasil maklumat awam dan risikan dua minggu, operasi ini berlangsung dan menahan enam wanita warga Vietnam, dua wanita warga Indonesia dan dua wanita warga Thailand disyaki pelacur.
“Selain itu, kami menahan tiga lelaki warga India yang mahu mendapatkan khidmat seks di premis berkenaan. Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 35 tahun.
“Kami turut menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 60 dan 45 tahun kerana disyaki bekerja sebagai penjaga premis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Khairrul Aminus berkata, pihaknya merampas kamera litar tertutup (CCTV) dan pelbagai barangan lain yang disyaki digunakan untuk aktiviti pelacuran.
“Modus operandi sindiket adalah menyediakan perkhidmatan pelacuran kepada pelanggan terdiri daripada warga asing di sekitar kawasan terbabit.
“Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigersen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Dua lelaki tempatan yang disyaki berperanan sebagai ‘bapa ayam’ dan pelindung pula ditahan di lokap Balai Polis Pandamaran, Klang untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau mengingatkan orang ramai bahawa tindakan tegas akan diambil atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
© New Straits Times Press (M) Bhd