Tidak serik, kilang kitar semula sekali lagi diserbu libatkan rampasan RM376,000

Tidak serik, kilang kitar semula sekali lagi diserbu libatkan rampasan RM376,000


ROMPIN: Pemilik sebuah kilang kitar semula di Bukit Ibam di sini bagaikan tidak serik apabila premisnya sekali lagi diserbu pihak berkuasa kerana didapati melakukan kesalahan melibatkan alam sekitar.

Difahamkan sebelum ini kilang berkenaan diserbu pada Ogos 2024 dan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar bagi siasatan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dalam serbuan terbaru di bawah Op Hazard 3.0 semalam, pihaknya bejaya menemukan 76 beg jumbo berisi bahan dipercayai bateri yang sudah dileraikan di sebuah kilang kitar semula di Bukit Ibam di sini.

“Pemeriksaan di kawasan kilang berkenaan juga menemukan satu mesin peleburan yang bernilai RM300,000 dan jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM376,000 dengan setiap beg jumbo dianggarkan bernilai RM1,000 dan mesin peleburan RM300,000.

“Dalam serbuan ini kita menahan seorang lelaki warganegara Pakistan yang mempunyai dokumen lengkap yang bekerja sebagai penjaga kilang ini,” katanya di sini semalam.

Ahmad Radzi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM25,000 dan tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, siasatan giat dilakukan termasuk bagi mengesan pemilik premis kilang berkenaan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati bateri terpakai berkenaan dibawa masuk daripada luar negara dan juga dari pasaran tempatan.

Jelasnya, setakat ini bateri berkenaan sudah dikumpulkan dan belum melalui proses peleburan menggunakan mesin peleburan yang ada.

Dalam pada itu beliau berkata, seramai 60 penguatkuasa terlibat dalam Op Hazard 3.0 melibatkan Pasukan Gerakan Am,Jabatan Alam Sekitar, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, sebanyak tiga buah kilang diperiksa iaitu dua buah kilang di Kuantan dan sebuah kilang di Bukit Ibam, Rompin. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top