Tidak Terasa Hati, Amad Dayyan Anggap Usikan Rakan ‘Jangan Nyanyi Pegang Bahu’ Sekadar Gurauan

Tidak Terasa Hati, Amad Dayyan Anggap Usikan Rakan ‘Jangan Nyanyi Pegang Bahu’ Sekadar Gurauan


Penyanyi muda, Amad Dayyan menegaskan dirinya tidak berkecil hati dengan usikan segelintir rakan sekolah yang bergurau mengenai tindakannya menyanyi sambil memegang bahu.

Usikan itu tercetus selepas insiden ketika konsert final sebuah program realiti nyanyian, apabila Amad didakwa mengalami gangguan mistik sehingga persembahannya terjejas.

Ketika kejadian, Amad dilihat memegang bahunya yang terasa ‘berat sebelah’, sekaligus mengundang perhatian penonton serta kebimbangan orang ramai.

Bagaimanapun, anak saudara kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu tetap tenang dan menganggap gurauan rakan-rakannya sebagai perkara biasa.

“Suasana di sekolah baik dan semua berjalan seperti biasa. Ada yang bergurau meminta saya supaya tidak menyanyi sambil memegang bahu.

“Saya tidak ambil hati. Malah, saya ketawa bersama mereka kerana saya sendiri melihatnya sebagai sesuatu yang lucu,” katanya.

Amad berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single pertamanya berjudul Mendewasa di Gombak, Selangor.

Mengulas dakwaan kononnya terdapat pihak yang cemburu dengan pencapaiannya, penyanyi berusia 13 tahun itu memilih untuk kekal positif dan fokus kepada perjalanan seninya.

“Saya melihat perkara itu dari sudut positif untuk memotivasikan diri dan kerjaya saya. Saya tidak kisah apa yang diperkatakan orang.

“Saya hanya menjadi diri sendiri. Saya pun tidak membaca komen. Jika ada kritikan, ibu akan menanganinya.

“Saya menjalankan tugas seperti biasa sebagai penyanyi. Walaupun sedikit sebanyak boleh mengganggu emosi, saya memilih untuk tidak memikirkan sangat dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amad baru sahaja melancarkan single pertamanya berjudul ‘Mendewasa’ hasil sentuhan Shazriq Azeman dan Omar K, serta melodi pop balada yang menyentuh jiwa, lagu ini membawa mesej keberanian untuk menghadapi realiti dan erti sebenar membesar.

“Sebagai single pertama saya, Mendewasa amat bermakna kerana ia menggambarkan fasa kehidupan sebenar yang saya alami, tentang ketakutan, kehilangan dan akhirnya keberanian untuk menerima bahawa membesar itu bukan sesuatu yang mudah, tetapi perlu,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top