‘Tidak wajar naik insurans perubatan tanpa alasan munasabah’

‘Tidak wajar naik insurans perubatan tanpa alasan munasabah’


BUKIT MERTAJAM : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, premium insurans perubatan tidak wajar dinaikkan tanpa sebarang alasan munasabah.

Beliau berkata, walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) masih berunding dengan pihak berkepentingan berhubung cadangan kenaikan itu, beliau mahu memastikan ia tidak akan membebankan rakyat.

“Saya sudah tekankan kepada Gabenor (BNM) bahawa saya tidak mahu tolak ansur terhadap mana-mana syarikat insurans dan sektor swasta kesihatan.

“Kalau benar (kenaikan) itu diperlukan dan terpaksa (dinaikkan) dengan alasan munasabah, saya akan berdepan dengan rakyat.

“Tetapi, kalau sendiri tidak yakin kenaikan itu munasabah, saya tidak pertahankan dan saya tidak akan izinkan. Ini prinsip kita, sebab sementara premium insurans itu dinaikkan, mesti ada alasan yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Blok Baharu Hospital Pakar KPJ Penang di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, beliau berkata caj yang dikenakan hospital swasta terhadap pesakit juga memerlukan pengawasan susulan dikhuatiri mengambil kesempatan menaikkan harga untuk meningkatkan keuntungan.

“Sebagai contoh, kadangkala kos mahal itu bukan disebabkan jumpa doktor pakar, tetapi caj bilik. Bilik macam tiga bintang tapi (hospital swasta) caj harga lima bintang, maka, dalam hal-hal seumpama ini, hospital swasta diminta untuk berikan kerjasama,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan isu kenaikan caj premium insurans sekitar 40 hingga 70 peratus yang dikenakan terhadap pengguna masih dalam proses rundingan semula.

Anwar bagaimanapun berkata, laporan BNM akan dimuktamadkan semula selepas mengadakan rundingan dengan syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) serta pihak berkepentingan lain.-UTUSAN

 





Source link

OR

Scroll to Top