am@hmetro.com.my
Tampin: Tapak pelupusan sampah seluas kira-kira 1.2 hektar di Jalan Air Papan, Kampung Keru, di sini, terbakar sejak malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin menerima makluman dari sistem MERS NG 999 kira-kira jam 9 malam tadi.
“Pengadu memaklumkan terdapat kebakaran di tapak kawasan pelupusan sampah di Jalan Air Papan.
“Hasil siasatan mendapati lokasi kejadian adalah kawasan pelupusan sampah yang sedang dalam proses penutupan selamat oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara,” katanya tadi.
Beliau berkata, anggota dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu Tampin, Gemas dan Kota dikerahkan ke lokasi bagi operasi memadamkan kebakaran yang turut membabitkan semak.
“Agensi lain yang terbabit dalam kerja mengawal dan memadam kebakaran adalah polis sendiri, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan beberapa agensi kerajaan lain.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kebakaran berjaya dikawal serta pemantauan masih diteruskan sehingga kini oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
“Ini kerana keadaan cuaca panas dan berangin serta kawasan kebakaran membabitkan tanah gambut,” katanya.
Jelas beliau, lokasi kejadian jauh dari kawasan penduduk setempat dan tiada sebarang kemalangan jiwa dalam kebakaran ini dilaporkan setakat ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






