TIGA pelumba cilik dari pasukan M8 Racing Team bersedia mencipta kejutan apabila membuat penampilan sulung dalam saingan RCB Minimoto Championship 2025 yang berlangsung di Litar Horizon Beranang (HBC) bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Beraksi dalam kategori umur 6 hingga 9 tahun, adik-beradik itu Wan Adra Mikayla, satu-satunya pelumba perempuan; Wan Ayden Maleeq, pelumba termuda; dan Wan Faith Mikael Wan Muhd Muzri tampil dengan keyakinan tinggi selepas menjalani latihan intensif selama dua minggu bersama pasukan profesional ZK Racing.
Pengarah Bersama HBC, Rozali Salleh berkata, kemunculan pasukan baharu seperti M8 Racing Team dijangka menambahkan saingan dalam kejohanan kali ini.
“Biarpun masih baharu dalam sukan minimoto, semangat yang ditunjukkan oleh 3M dan M8 sangat mengagumkan. Prestasi mereka sepanjang latihan menunjukkan peningkatan ketara. Saya tidak sabar melihat bagaimana tiga beradik ini bersaing dengan pelumba lain.
“Menerusi pengalaman mereka dalam perlumbaan sukan pushbike peringkat kebangsaan dan antarabangsa, tidak mustahil kita akan menyaksikan gandingan 3M di atas podium hujung minggu ini. Kita doakan semua peserta dapat memberi persembahan terbaik,” katanya.
Tiga pelumba cilik tersebut turut mendapat sokongan moral daripada Azlan Abd Rahman, bapa kepada pelumba sensasi negara dan juara dunia MiniGP 2023 di Valencia, Qabil Irfan.
“Saya lihat sendiri keberanian dan kesungguhan mereka. Mikayla mempunyai potensi besar, Maleeq cepat memahami arahan walaupun baru enam tahun, dan Mikael menunjukkan keyakinan tinggi. Mereka berani menyahut cabaran dalam kategori baharu,” katanya.
Sementara itu, Qabil menitipkan nasihat buat ketiga-tiga pelumba tersebut agar tidak mensia-siakan peluang yang diberikan.
“Dulu peluang seperti ini tiada. Ini masa mereka buktikan kemampuan. Ambil peluang yang ada. Mikayla mampu bersaing dan membuktikan gadis seusianya juga boleh berjaya. Untuk Maleeq, teruskan usaha. Siapa yang berusaha lebih, dia akan berjaya,” ujarnya.
“Sasaran asal saya ialah tahun hadapan, tetapi apabila ZK Racing membuka semula pemilihan, saya lihat mereka sudah bersedia dari segi mental dan fizikal. Maka kami ambil keputusan untuk beri pendedahan awal.
“Menyertai minimoto sebenarnya agak menakutkan kerana kelajuannya boleh menyebabkan kecederaan serius, tetapi ZK Racing sangat menitikberatkan aspek keselamatan,” ujarnya.
Perlumbaan ini mendapat kelulusan Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dan turut disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pendidikan.
“Ia memberi keyakinan kepada kami sebagai ibu bapa,” katanya lagi.
Bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin yang menerajui ZK Racing menyifatkan kejohanan minimoto sebagai platform penting bagi mengisi jurang antara pushbike dan MotoGP.
“Minimoto ialah laluan terbaik untuk pelumba pushbike melangkah ke sukan permotoran. Kategori 40cc ini sangat sesuai untuk membina asas kawalan, teknik dan daya saing sejak kecil,” katanya.
Beliau turut memuji komitmen keluarga adik-beradik tersebut yang konsisten dalam memberi latihan berterusan.
“Kunci utama menjadi pelumba laju ialah latihan tanpa henti. Pengalaman pushbike memberi mereka kelebihan dari segi kestabilan dan kawalan,” ujar Zulfahmi.
Dengan penyertaan 16 pelumba cilik termasuk tiga beradik dari 3M Racing Team, saingan dijangka lebih sengit dan terbuka – sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai bakat muda mencuri tumpuan dalam dunia permotoran negara.
OR