KEM beregu campuran terus menyerlah dalam Kejuaraan Badminton Cabaran Antarabangsa Petronas 2025 apabila tiga wakil negara menyambar slot separuh akhir di Arena Badminton Perak, Ipoh pada Jumaat.
Mendahului cabaran negara ialah pasangan muda berbakat, Tan Zhi Yang-Nicole Tan, yang mencipta kejutan menyingkirkan pilihan utama dari Indonesia, Zaidan Arrafi Awal Nabawi-Jessica Maya Rismawardani.
Pada perlawanan pembukaan, Zhi Yang-Nicole yang sebelum ini mara ke separuh akhir Terbuka Slovakia, tidak memberi ruang kepada lawan dengan kemenangan 15-13, 15-13 dalam aksi 26 minit.
Kejayaan tersebut membolehkan mereka menempah slot separuh akhir bertemu satu lagi pasangan negara yang sedang meningkat naik, Datu Anif Isaac Datu Asrah-Dania Sofea Zaidi.
Beregu remaja berusia 17 tahun itu, yang baru dinobatkan sebagai beregu campuran remaja nombor satu dunia, tidak berdepan masalah menundukkan pilihan ketiga, Wee Yee Hern-Chan Wen Tse, dengan kemenangan straight set 15-10, 15-12.
Malaysia turut memastikan satu lagi wakil di separuh akhir menerusi pasangan Low Han Chen-Vannee Gobi, selepas bangkit menewaskan rakan senegara, Liew Xun-Ho Lo Ee, 12-15, 15-8, 15-10 dalam masa 40 minit.
Han Chen, 19, dan Vannee, 20, yang tersingkir di pusingan 16 Siri Antarabangsa Toyota Thailand 2025, akan berdepan beregu Indonesia, Kenzie Yoe-Luna Rianty Saffana, untuk tiket ke final.
Kenzie-Luna sebelum ini menyingkirkan pilihan kedua, Ashraf Daniel Md Zakaria-Lim Xuan, pada hari pembukaan, dan mengatasi juara Cabaran Antarabangsa Remaja Petronas, Loh Ziheng-Noraqilah Maisarah pada Khamis.
Namun, mereka dipaksa bekerja keras hari ini sebelum menundukkan satu lagi pasangan Malaysia, Irfan Shazmir-Nur Aina Maisarah, 17-15, 9-15, 15-10.






