Sydney: Persediaan untuk Terbuka Australia mendapat tamparan besar apabila tiga pemain ternama, termasuk juara Wimbledon dan pemain ranking ke-10 dunia, Barbora Krejcikova, mengumumkan penarikan diri daripada kejohanan itu.
Barbora, pemain dari Republik Czech, menarik diri akibat masalah kecederaan belakang yang berlarutan sejak penghujung musim lalu.
“Hi semua, saya ingin berkongsi kemas kini pantas mengenai penarikan diri saya dari Terbuka Australia,” tulis Barbora di media sosial.
“Malangnya, kecederaan belakang saya yang mengganggu pada penghujung musim lalu masih belum pulih sepenuhnya. Ini sangat mengecewakan kerana saya suka bermain di Melbourne dan memiliki kenangan indah mencapai suku akhir tahun lalu.”
Pemain berusia 29 tahun itu akan digantikan oleh Nuria Parrizas Diaz dari Sepanyol dalam undian utama kejohanan.
Selain Barbora, dua bekas pemain nombor satu dunia, Caroline Wozniacki dari Denmark dan Karolina Pliskova dari Republik Czech, turut menarik diri.
Caroline, juara Terbuka Australia 2018, tidak memberikan sebab spesifik atas keputusannya.
Dia akan digantikan oleh Yuliia Starodubtseva dari Ukraine.
Sementara itu, tempat Karolina diisi oleh Rebecca Marino dari Kanada.
Saingan utama Terbuka Australia akan berlangsung dari 12 hingga 26 Januari.
© New Straits Times Press (M) Bhd