Tiga ditahan terlibat insiden tidak senonoh, lucah ketika larian

Tiga ditahan terlibat insiden tidak senonoh, lucah ketika larian


JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki warga asing serta seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan insiden kelakuan tidak senonoh serta lucah semasa program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di sebuah hotel di Desaru, Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, kesemua mereka berusia 39 hingga 79 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pukul di sebuah hotel di Kota Tinggi pukul 10 malam tadi.

“Pihak polis turut merampas pakaian serta aksesori yang dipercayai dipakai semasa larian tersebut iaitu sepasang sari berwarna merah, sepasang skirt warna merah, tiga keping kadbod berwarna perak dan satu batang tombak tiruan berwarna perak.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek negatif sebarang jenis dadah dan kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Siasatan awal polis mendapati tindakan yang dilakukan oleh ketiga-tiga tangkapan adalah atas kapasiti individu dan bukan mewakili pihak penganjur atau program larian yang dianjurkan.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan yang menghina dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan polis dan menggugat ketenteraman awam.

Jelasnya orang ramai juga dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat mengenai kejadian jenayah ke talian hotline IPD Kota Tinggi 07-8831222 atau bilik gerakan 07-8831221.

Sebelum itu, tular foto dan video berkenaan program itu dalam Facebook (FB) Khas Penduduk Kota Tinggi dengan kapsyen ‘apa nak jadi dengan Bandar Penawar ni’.

Semalam, media melaporkan kerajaan negeri tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam penganjuran acara tidak bermoral seperti itu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Polis kenal pasti individu, penganjur acara larian promosi LGBT – Kumar



Source link

OR

Scroll to Top