Cklamovski ketika mengadakan sidang media pengumuman senarai pemain ke Kem Latihan Pusat Skuad Harimau Malaya di Wisma FAM pada Khamis. Foto Bernama
PENGENDALI skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menyenaraikan seramai 38 pemain bagi menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya yang akan bermula pada Ahad ini sebagai persediaan menghadapi aksi penting antarabangsa.
Daripada jumlah tersebut, 25 pemain merupakan muka yang dikekalkan daripada skuad yang beraksi menentang Nepal dalam perlawanan pertama Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 pada 25 Mac lalu.
Selain itu, Cklamovski turut memanggil beberapa pemain baharu termasuk tonggak muda daripada skuad bawah 23 tahun (B-23) bagi memperkukuh pilihan pemain dalam menghadapi perlawanan akan datang.
Kem latihan pusat kali ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa. Fasa pertama membabitkan kehadiran 28 pemain bermula Ahad ini, disusuli lapan pemain lain iaitu Syihan Hazmi, Corbin-Ong, Matthew Davies, Shahrul Saad, Junior Eldstal, Afiq Fazail, Romel Morales dan Endrick dos Santos yang akan melapor diri pada 25 Mei.
Dua lagi pemain, Dion Cools dan Hector Hevel dijadualkan menyertai kem latihan pada 1 Jun.
Dalam perkembangan sama, 12 pemain turut disenaraikan dalam senarai bersedia sekiranya berlaku sebarang perubahan atau kecederaan melibatkan pemain utama.
Skuad Harimau Malaya akan menjalani latihan pusat di Johor Bahru bermula 19 hingga 26 Mei sebelum menyambung sesi latihan di Kuala Lumpur pada 27 Mei sehingga hari perlawanan.
Malaysia dijadual menentang pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei.
Kedua-dua pasukan juga akan bertemu sekali lagi dalam satu perlawanan latihan tertutup tanpa kehadiran penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun.
Dua perlawanan tersebut menjadi medan penting buat Cklamovski merangka strategi terbaik sebelum Harimau Malaya turun menentang Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan F di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun.