Kehadiran pemain berdarah warisan seperti Facundo Garces (depan) masih dipertikaikan beberapa pihak di luar negara. Foto: Malaysia NT
KEPUTUSAN rayuan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai hukuman kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara yang masih belum diumumkan bukanlah sesuatu yang pelik.
Peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli berkata, kelewatan itu mungkin berpunca daripada beberapa faktor biasa dalam proses perundangan dan pentadbiran FIFA.
“Mungkin ada beberapa sebab keputusan FIFA masih belum keluar. Pertama, mereka memerlukan masa untuk meneliti fakta serta hujah undang-undang yang telah dikemukakan oleh pihak terbabit,” katanya.
Menurutnya, faktor kedua mungkin disebabkan kesibukan jawatankuasa FIFA yang turut mengendalikan pelbagai kes lain yang tiada kaitan dengan rayuan FAM dan pemain warisan.
“Ketiga, mereka juga perlu masa untuk menulis keputusan dengan teliti,” katanya.
Nik Erman menjelaskan, kelewatan mengumumkan keputusan bukan sesuatu yang luar biasa dalam sistem perundangan atau tatatertib badan antarabangsa seperti FIFA.
“Dalam undang-undang, penangguhan bicara atau keputusan yang lewat dikeluarkan adalah perkara biasa dan tidak semestinya membawa maksud tertentu,” ujarnya.
Sebelum ini, FAM telah mengemukakan rayuan kepada FIFA berhubung hukuman yang dijatuhkan tersebut dan peguam mewakili badan induk bola sepak itu, Serge Vittoz berkata keputusan akan dapat diketahui pada 30 Oktober iaitu Khamis lalu.
Namun, keputusan tersebut masih belum diumumkan FIFA sekali gus mencetus tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak negara.
Dalam pada itu, pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, tarikh 30 Oktober itu bukan dijanjikan oleh FIFA sebaliknya keluar dari mulut Vittoz.
“Saya rasa tak ada pun FIFA kata nak keluarkan keputusan itu pada tarikh 30 Oktober. Apa yang kita tahu mesyuarat itu berlangsung pada tarikh tersebut.
“Cumanya lepas mesyuarat itu ada prosesnya dalam mengeluarkan keputusan sebabnya ini bukan mesyuarat biasa-biasa.
“Ia perlu mendapatkan pengesahan dan diteliti oleh Jawatankuasa Rayuan. Bila dah selesai semua, barulah ia akan diumumkan,” katanya.
Ringkasan AI
- KEPUTUSAN rayuan oleh FIFA terhadap hukuman kepada FAM dan tujuh pemain warisan negara belum diumumkan
- Kelewatan itu mungkin berpunca dari proses penelitian fakta dan hujah undang-undang
- Faktor kedua mungkin disebabkan kesibukan jawatankuasa FIFA
- Kelewatan juga dapat disebabkan oleh masa yang diperlukan untuk menulis keputusan dengan teliti
- Keputusan rayuan yang dijangka pada 30 Oktober belum diumumkan, mencetus tanda tanya di kalangan peminat bola sepak





