Tiga lelaki ditahan, minuman keras lebih RM500,000 dirampas

Tiga lelaki ditahan, minuman keras lebih RM500,000 dirampas


JOHOR BAHRU: Polis menahan tiga lelaki dan enam buah kenderaan berisi pelbagai jenis minuman keras tidak bercukai bernilai RM509,214 menerusi satu operasi di Jalan Kempas, Taman Megah Ria, Masai, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, operasi tersebut dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2, Tampoi pada pukul 5.30 pagi.

Katanya, kenderaan yang diserbu melibatkan sebuah lori, empat kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kereta.

“Menerusi operasi tersebut, tiga lelaki berusia antara 44 hingga 56 tahun ditahan kerana memiliki 491 kotak pelbagai jenis minuman keras tidak bercukai bernilai RM509,214.

“Manakala keenam-enam kenderaan yang disita bernilai RM170,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Sohaimi, semakan mendapati dua suspek mempunyai empat rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” ujarnya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top