ISKANDAR PUTERI – Tiga lelaki warga Bangladesh melecur dalam kejadian empat buah kilang meletup dan terbakar di Kawasan Perindustrian SILC di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Faiz Suleiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.33 pagi.
Susulan itu katanya, seramai 46 anggota dari BBP Iskandar Puteri, Skudai, Pekan Nenas, Pontian Baru dan Sebana Cove dikejarkan ke tempat kejadian.
“Mereka dibantu lapan jentera. Kebakaran melibatakan empat kilang. Sebuah kilang logisitik terbakar sebanyak 80 peratus.
“Tiga buah kilang termasuk stor penyimpanan thinner terbakar 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, tiga lelaki warganegara Bangladesh melecur 30 peratus dan telah dibawa ke hospital oleh pihak pengurusan kilang sebelum bomba sampai.
Tambah beliau, operasi memadam kebakaran masih dilakukan sehingga kini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada pukul 11.45 pagi.
Beliau berkata, salah satu kilang tersebut dipercayai merupakan kilang penyimpanan kimia termasuk thinner.
“Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 11.30 pagi dan ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya pada sidang akhbar- MalaysiaGazette