Tiga maut terkena renjatan ketika cuba curi kabel elektrik

Tiga maut terkena renjatan ketika cuba curi kabel elektrik


IPOH: Tiga lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik dipercayai ketika cuba mencuri kabel di kawasan tanah lapang di Taman Rapat Perdana, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian di kawasan tiang elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu pada pukul 10 pagi.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis ke lokasi kejadian dan menemui tiga lelaki warga tempatan dalam keadaan tidak sedarkan diri, yang kemudian disahkan meninggal dunia.

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 35 hingga 50 tahun itu terkena renjatan elektrik ketika cuba memotong kabel elektrik pada tiang TNB.

“Mayat ketiga-tiga lelaki terbabit dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kematian kesemua suspek setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil laporan bedah siasat.

“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian ini diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau balai polis berhampiran,” katanya. – UTUSAN

 





Source link

OR

Scroll to Top