Tiga olimpian Paris hangatkan Triathlon Putrajaya

Tiga olimpian Paris hangatkan Triathlon Putrajaya


SAINGAN Triathlon Piala Asia (ATC) Putrajaya bakal dihangatkan dengan penampilan trio Olimpian Paris 2024 di Kompleks Sukan Air Putrajaya selama dua hari bermula Sabtu ini.

Mereka terdiri daripada Max Struder dari Switzerland, Jason Ng (Hong Kong) dan Barbaros Riveros (Chile).

Perlumbaan yang memasuki edisi kedua tahun ini bakal menggabungkan rutin renang sejauh 750 meter, berbasikal 20 kilometer (km) dan larian 5km.

Cabaran Malaysia pula akan digalas oleh triatlet lelaki dan wanita terbaik negara, Isaac Tan serta Esther Joy Chen.

Presiden Triathlon Malaysia, Tony Tan melahirkan penghargaan kepada Triathlon Dunia dan Triathlon Asia kerana mempercayai pihaknya untuk menjadi tuan rumah buat musim kedua.

Beliau berkata, ia merupakan perlumbaan pertama tahun ini di rantau Asia Tenggara dan ia mempunyai nilai tambah tersendiri susulan penganjuran Sukan SEA Thailand pada akhir tahun dan Sukan Belia Asia.

“Banyak negara termasuk Malaysia menggunakan acara ini sebagai sebahagian daripada proses pemilihan dan kelayakan atlet mereka.

“Acara ini juga memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pendedahan atlet muda di rantau ini. Triathlon Malaysia bangga menyaksikan pertumbuhan berterusan sukan multi disiplin di negara ini,” katanya.

Turut memeriahkan acara ialah kehadiran atlet dalam kelompok 10 terbaik Asia termasuk Robin Elg dari Hong Kong (kelapan) dan wakil Jepun, Kyotaro Yoshikawa (ke-10) yang merupakan pencabar hebat untuk gelaran lelaki.

Kategori wanita pula membariskan jaguh Asia seperti Bailee Brown dari Hong Kong (ketiga), Sato Yoshiko (kesembilan) dari Jepun dan Jeong Hye-rim (ke-10) dari Korea Selatan.

Pemenang pembukaan musim ATC di Chennai minggu lalu, Martina Ayu Pratiwi dari Indonesia turut menjadi pencabar yang perlu diberi perhatian.

Selain saingan di peringkat elit, penganjur turut mengadakan perlumbaan kategori peringkat usia Series Putrajaya 113 bagi menguji keupayaan mereka di laluan perlumbaan yang sama.

Pengarah perlumbaan, Andy Foo berbesar hati dengan sambutan luar biasa dengan lebih 1,000 peserta telah mendaftar melibatkan semua kategori umur.

“Amat menakjubkan edisi tahun ini telah menerima penyertaan yang begitu luar biasa. Jumlah peserta telah meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu, menjadikannya acara triathlon ini di Malaysia,” katanya.

Acara bagi kategori umur akan berlangsung pada Sabtu menampilkan tiga kategori iaitu KiTS Aquathlon (50m-500m), Super Sprint (300m-2.5km) dan Sprint (750m-5km).

Ia akan diikuti dengan kejohanan triathlon bagi kategori umur pada Ahad yang menawarkan tiga jarak perlumbaan: Super Sprint (300m-10km-2.5km), Sprint (750m-20km-5km) dan Jarak Olimpik (1.5km-40km-10km).



Source link

OR

Scroll to Top