Tiga pemain JDT dilepas pulang menjelang pertemuan Malaysia-India

Tiga pemain JDT dilepas pulang menjelang pertemuan Malaysia-India


Dari kiri: Arif Aiman, Muhammad Feroz dan Matthew Davies

TIGA pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dilepaskan daripada skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang India di Hyderabad, Isnin depan.

Tiga pemain yang dilepaskan atas permohonan JDT ialah dua pemain pertahanan Matthew Davies dan Muhammad Feroz Baharudin serta pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi sekali gus menyaksikan hanya 23 pemain berlepas ke India.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan permohonan dibuat JDT susulan jadual pusingan pertama saingan Piala Malaysia 2024/2025 menentang Kuala Lumpur Rovers FC pada Rabu depan.

“Permohonan dibuat JDT itu selepas mengambil kira skuad Harimau Malaya akan tiba di tanah air pada pagi Rabu selepas aksi menentang India, sekali gus tidak sempat bagi ketiga-tiga pemain berkenaan pulang ke pangkuan kelab mereka.

“Bagaimanapun, seorang lagi pemain JDT iaitu penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed akan menyertai 23 pemain Harimau Malaya untuk terbang ke Hyderabad dari Bangkok, malam ini,” menurut kenyataan itu.

Malaysia dijadualkan menentang India di Stadium Gachibowli dengan misi meraih satu lagi kemenangan selepas skuad bimbingan Pau Marti Vicente itu menewaskan Laos 3-1 pada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium PAT, Bangkok, Khamis lepas.

Aksi menentang Laos dan India bulan ini juga menjadi medan Vicente mempersiapkan pasukan untuk menghadapi Kejohanan ASEAN 2024 yang dijadualkan bermula bulan depan. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top