KUALA LUMPUR – Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 menyaksikan penambahan tiga sukan pilihan baharu iaitu muayThai, petanque dan silambam.
Keputusan itu dicapai secara sebulat suara dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi Sukma yang dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria; Exco-Exco Sukan Negeri serta Pengerusi-Pengerusi Majlis Sukan Negeri.
Menurut kenyataan, cadangan penambahan tiga sukan pilihan itu dikemukakan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi dan diterima semua ahli Jawatankuasa Tertinggi Sukma.
Kenyataan itu memaklumkan, dengan penambahan tersebut, Sukma yang dianjurkan di Selangor akan mempertandingkan 30 sukan wajib dan tujuh sukan pilihan.
“Jawatankuasa Tertinggi Sukma juga menegaskan tiada lagi cadangan atau rayuan penambahan sukan akan dipertimbangkan,” jelas kenyataan itu.
Temasya Sukma Selangor 2026 dijadualkan berlangsung dari 15 Ogos hingga 24 Ogos depan di sembilan daerah seluruh negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Hannah memaklumkan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mengkaji inisiatif ‘Non-Sukma Games’ bagi sukan yang tidak terpilih dan model baharu penganjuran selepas Sukma di Kelantan pada 2028.
“Ini bagi memastikan kesinambungan pembangunan sukan dan atlet tanpa membebankan peruntukan kerajaan,” katanya.