JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan dan dua lelaki warga Vietnam didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan menculik yang bertujuan menuntut wang tebusan RM20 juta, bulan lalu.
Tertuduh, Chong Shih Ming, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Sementara Luong Van Tung, 39, dan Tran Van Chung, 29, tidak membuat sebarang pengakuan kerana tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa meneruskan niat bersama menculik seorang lelaki berusia 59 tahun dengan tujuan menuntut wang tebusan sebanyak RM20 juta di Jalan Straits View, di sini, pukul 5 pagi, 13 Oktober lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1960 (Akta 365) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun dan dengan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes dihadapi tertuduh adalah tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, beliau mencadangkan jumlah jaminan yang tinggi iaitu RM30,000 sekiranya mahkamah ingin mempertimbangkan untuk membenarkan ikat jamin dan disertakan dengan tiga syarat tambahan.
Bagi Luong dan Tran yang tidak diwakili peguam, pendakwaan memohon untuk memanggil jurubahasa Vietnam bagi membolehkan pertuduhan dibacakan kepada tertuduh dan pengakuan direkodkan.
Pada masa sama, peguam K Veeranesh yang mewakili Shih Ming memohon mahkamah membenarkan anak guamnya dijamin dengan jumlah yang minimum.
“Tertuduh sudah bercerai dan menanggung ibu bapanya yang sudah berusia. Tertuduh menjalankan perniagaan dengan pendapatan antara RM5,000 hingga RM6,000,” katanya.
Sebelum membuat keputusan berkaitan jaminan, Che Wan Zaidi memohon butiran mengenai tangkapan tertuduh sebelum Thiviya memaklumkan lelaki itu ditahan atas maklumat dan risikan polis.
“Difahamkan, wang tebusan juga tidak dapat diperolehi semula sepenuhnya pada tahap ini,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan Chong diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan lapor diri di balai polis sebulan sekali, pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi dan mangsa.
Bagi Luong dan Tran, mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan sehingga 17 November ini apabila pertuduhan dibacakan semula oleh jurubahasa Vietnam.
Mahkamah turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes Shih Ming, bagi serahan dokumen.
Pada prosiding itu, peguam Fairoz Elyas Majeed dan Ng Kian Pin bertindak sebagai peguam pemerhati.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, seorang wanita warga Vietnam didakwa melupuskan kenderaan iaitu Honda Accord 2.4L dengan niat hendak mengelakkan Shih Ming daripada hukuman undang-undang.
Nguyen Ngoc Ngan, 36, didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Keembong 39, Taman Johor Jaya, di sini, pukul 3.30 petang, 24 Oktober lalu dan dia didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret A Sharmini.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa tidak menawarkan sebarang jaminan walaupun seksyen berkenaan boleh dijamin atas alasan kes tertuduh itu berkait dengan kes dihadapi Chong di bawah Akta Penculikan 1960.
“Tertuduh juga warga asing dan jika mahkamah ingin benarkan jaminan, saya cadangkan satu jumlah yang tinggi,” katanya.
Peguam Goh Sze Han yang mewakili tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya telah berkahwin dengan warga tempatan dan mempunyai dua anak warga tempatan berusia 12 dan 14 tahun.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 November ini untuk sebutan semula kes.- MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL