firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Harapan skuad bawah 19 (B-19) tahun negara untuk menempah tiket ke Piala Asia B-20 tahun depan boleh dikatakan sudah tertutup selepas tewas 0-1 di tangan Tajikistan dalam aksi ketiga Kumpulan E Kelayakan Piala Asia B-20, sebentar tadi.
Kekalahan di Stadium Republican Central, Dushanbe itu menyaksikan skuad negara hanya mampu mengutip empat mata hasil kemenangan 2-1 ke atas Oman dan seri tanpa jaringan dengan Korea Utara sebelum ini.
Biarpun masih memiliki satu lagi aksi dalam tangan menentang Sri Lanka Ahad ini, namun ia masih belum cukup untuk meletakkan skuad Harimau Muda selaku lima naib juara terbaik daripada 10 kumpulan yang turut diberikan slot automatik bersama juara setiap kumpulan.
Sebelum itu, Korea Utara sudah mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan E selepas menang ke atas Oman yang berlangsung lebih awal untuk memungut 10 mata.
Dalam aksi itu, pasukan negara harus menyalahkan diri sendiri apabila deretan peluang gagal disempurnakan sepanjang aksi.
Malaysia hampir meraih gol awal sebaik wisel ditiupkan namun rembatan Zamirul Hakim tepat ke dakapan penjaga gol tuan rumah, Makhmudzoda Shakhobiddin.
Pemain negara masih kempunan merungkai jaringan apabila sepakan sudut yang diambil Haykal Danish pada minit ke-15 disambut Moses Raj namun tandukannya mudah dibaca Makhmudzoda.
Peluang skuad negara terus dinafikan Makhmudzoda yang tangkap menepis sepakan percuma Haykal pada minit ke-21 untuk melegakan kem tuan rumah.
Empat minit kemudian giliran Tajikistan menguji gawang negara menerusi percubaan jarak jauh ketua pasukan, Sulaymonov Abubakr namun Haziq Aiman sudah bersedia untuk menepis rembatan itu.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Juan Torres Garrido meraih sekurang-kurangnya lima peluang keemasan untuk menjaringkan gol namun ketumpulan jentera hadapan agak mengecewakan.
Peluang terbesar menerusi Zamirul yang hanya berhadapan dengan Makhmudzoda pada minit 66 tetapi tolakan lemahnya mudah dihalang ketika gawang gol sudah ternganga luas.
Menuju 10 minit terakhir, pasukan tuan rumah bimbingan Milos Kostic dari Slovenia hanya mampu bertahan.
Namun ketika perlawanan dijangka berakhir dengan seri, Khushvakhtov Dzhovidon melepaskan satu rembatan cantik yang tepat menuju ke sasaran untuk menewaskan Haziq.
© New Straits Times Press (M) Bhd