Tiket Pra-Jualan Tur Sama Sama Dilanjutkan Hingga 2 November, 5 Pemuzik Hebat Bakal Gegar KL Disember Ini

Tiket Pra-Jualan Tur Sama Sama Dilanjutkan Hingga 2 November, 5 Pemuzik Hebat Bakal Gegar KL Disember Ini


Berita baik buat peminat muzik Nusantara! Tempoh pra-jualan tiket Tur Sama Sama yang menampilkan lima pemuzik terkenal iaitu Tulus, Kunto Aji, Sal Priadi, Dere dan Idgitaf dilanjutkan dari 19 Oktober hingga 2 November 2025 atas permintaan tinggi daripada peminat.

Tur Sama Sama bakal menemui penonton Malaysia di Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2025 bermula jam 7.30 malam, menjanjikan pengalaman muzik yang segar dan penuh emosi.

Konsert ini menyatukan lima figura penting industri muzik Indonesia dalam satu pentas selepas kejayaan besar mereka di empat kota iaitu Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor.

Ketika menutup siri konsert di Bogor pada 24 Mei lalu, Tulus sempat menggembirakan peminat dengan janji bahawa jelajah ini akan diteruskan ke Malaysia.

“Kami sudah lama menantikan peluang untuk membawa persembahan ini ke Malaysia. Akhirnya masa itu tiba juga,” kata Tulus.

Menurut penganjur bersama PT Expo Indonesia Jaya (ExpoIndo), Tiga Dua Satu dan Thrive, Kuala Lumpur menjadi destinasi kelima Tur Sama Sama selepas sambutan luar biasa di tanah air mereka.

“Selepas kejayaan di Indonesia, kami tahu peminat Malaysia juga menantikan konsert ini. Idea Live Arena adalah lokasi sempurna untuk membawa konsep kolaborasi unik lima pemuzik ini,” kata Udzir Harris dari Thrive.

Bagi Bram Tulong dari ExpoIndo, Tur Sama Sama menawarkan pengalaman berbeza untuk penonton.

“Ini bukan konsert biasa. Setiap artis akan tampil secara solo, duet dan juga persembahan bersama. Ia benar-benar satu kolaborasi istimewa,” katanya.

Sementara itu, Tiur Tobing dari Tiga Dua Satu mengajak peminat agar tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan ini.

“Kami mahu penonton menikmati pengalaman muzik paling berkesan tahun ini. Jangan tunggu lama untuk dapatkan tiket,” katanya.

Tiket pra-jualan telah mula dijual pada 29 September dengan harga bermula RM228. Sebanyak 11 kategori ditawarkan termasuk Bronze, Silver, Gold, Diamond, Platinum, Ruby, Sapphire, Emerald, Emerald Extra dan Group Suite. Tiket boleh didapati melalui BBO Events dan samasamatur.com.

Sal Priadi turut meluahkan keterujaannya menjelang konsert ini.

“Kami tidak sabar untuk bertemu peminat Malaysia. Tur Sama Sama memberi kami ruang untuk berkongsi pentas dalam cara yang belum pernah kami lakukan sebelum ini,” katanya.

Tur Sama Sama menjanjikan sesuatu yang istimewa kerana setiap artis bukan sahaja akan membawakan lagu sendiri, tetapi juga bertukar lagu dan mempersembahkan susunan muzik eksklusif khas untuk siri jelajah ini.

Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada pengalaman muzik istimewa ini. Tur Sama Sama di Idea Live Arena, Kuala Lumpur bakal berlangsung pada 5 Disember 2025.



Source link

OR

Scroll to Top