Timbalan CEO SSM Didakwa Terima RM50,000 Daripada Anak Hamzah Zainudin

Timbalan CEO SSM Didakwa Terima RM50,000 Daripada Anak Hamzah Zainudin

Timbalan CEO SSM Didakwa Terima RM50,000 Daripada Anak Hamzah Zainudin


Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima wang tunai RM50,000 tanpa balasan daripada anak kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Tertuduh, Khuzairi Yahaya, 55, yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pendaftaran & Perkhidmatan Perniagaan) SSM didakwa menerima wang berkenaan daripada Muhammad Faisal Hamzah yang diketahui mempunyai hubungan dengan urusan rasminya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SSM@Sentral, Jalan Stesen 5, Kuala Lumpur Sentral pada Mei 2018 sewaktu Hamzah merupakan Menteri Dalam Negeri.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Khuzairi bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran sekurang-kurangnya sekali setiap bulan.

“Saya mohon mahkamah mempertimbangkan faktor kemungkinan tertuduh melarikan diri serta jumlah jaminan RM15,000 adalah munasabah memandangkan kesalahan ini adalah serius. Oleh itu, wajar syarat tambahan ini dibenarkan,” katanya.

Peguam Muhammad Aizat Fakri yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan jaminan dan syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 20 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.






Source link

OR

Scroll to Top