KUALA LUMPUR – Cadangan supaya syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) bertanggungjawab kepada Parlimen dan bukannya kepada Perdana Menteri atau Menteri perlu dipertimbangkan secara serius.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dalam satu kenyataan berkata, ia penting bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam pengurusan harta awam selain untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan campur tangan politik dalam keputusan korporat.
Jelasnya, GLC dan GLIC yang bertanggungjawab kepada Parlimen akan melalui semakan serta kawal selia yang lebih menyeluruh dan objektif.
Selain itu, tambahnya, Parlimen sebagai badan legislatif juga mewakili rakyat secara keseluruhan dan mempunyai kuasa untuk memastikan polisi dan pelaburan oleh GLC dan GLIC adalah demi kebaikan negara, bukannya untuk kepentingan politik atau pihak tertentu.
“Jika GLC dan GLIC berada di bawah pemantauan Parlimen dan bukannya terus di bawah Perdana Menteri atau Menteri, risiko campur tangan politik dapat dikurangkan.
“Ini kerana ahli politik berpotensi menggunakan kuasa mereka untuk kepentingan peribadi atau parti seperti melantik individu yang tidak kompeten tetapi berpihak kepada mereka.
“Dengan menjadikan Parlimen sebagai badan pemantau, keputusan pelantikan dan polisi lebih telus serta berdasarkan merit,” demikian menurut kenyataan itu.
Tambahnya, GLC dan GLIC seharusnya dijalankan seperti organisasi profesional yang mana ketelusan dan profesionalisme menjadi keutamaan.
Katanya, campur tangan politik sering merugikan syarikat-syarikat itu dari segi prestasi dan kepercayaan pasaran, justeru adalah penting membebaskan syarikat terbabit daripada pengaruh politik.
“GLC dan GLIC memainkan peranan penting dalam ekonomi negara dan menyumbang kepada pembangunan nasional.
“Sekiranya mereka dilihat sebagai bebas daripada pengaruh politik, kepercayaan awam terhadap institusi-institusi ini akan meningkat.
“Ia juga akan meningkatkan keyakinan pelabur asing yang melihat Malaysia sebagai negara dengan struktur tadbir urus yang mantap dan telus,” katanya.
Sementara itu, tambah kenyataan tersebut, GLC dan GLIC juga perlu bebas daripada campur tangan politik yang mana kebebasan itu perlu disertai dengan sistem pemantauan yang ketat melalui mekanisme pelaporan berkala kepada Parlimen.
Katanya, di kebanyakan negara maju, terdapat peruntukan supaya syarikat berkaitan kerajaan dijalankan sebagai entiti profesional yang bebas, tetapi masih mempunyai mekanisme pemantauan yang rapi untuk mengelakkan penyelewengan.
“MCW percaya cadangan ini adalah satu langkah ke arah tadbir urus yang lebih baik bagi GLC dan GLIC,” katanya. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL