July 27, 2024

Tindakan kurang ajar Israel perlu terus dikutuk – Peja

Tindakan kurang ajar Israel perlu terus dikutuk – Peja


KUALA LUMPUR – Tindakan kurang ajar Israel yang semakin berani melakukan serangan dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) perlu terus dikutuk komuniti dunia.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau dikenali sebagai Peja turut menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan ideologi politik dan kemasyarakatan terus lantang menentang penindasan yang dilakukan tentera rejim Zionis Israel ke atas rakyat Palestin yang menuntut tanah kemerdekaan mutlak.

“Baru-baru ini dijatuhkan bom di kem-kem pelarian di Rafah dan dapat dilihat betapa memilukan hati kita semua mangsa terkorban dalam kebakaran yang membara itu termasuk bayi beberapa bulan sahaja mati terputus kepala.

“Kekejaman paling jijik oleh Israel harus dihentikan serta merta dan saya desak semua kerajaan di seluruh dunia perlu bangkit segera memberi tekanan kepada kerajaan masing-masing supaya mereka dapat melakukan apa jua usaha untuk menghentikan penghapusan etnik oleh Israel,” katanya semasa berucap pada Himpunan Protes Senyap Peduli Rafah di sini malam ini.

Ahmad Faizal bimbang situasi tegang di Rafah boleh membangkitkan kemarahan antara agama seolah menimbulkan perasaan Islamofobia dan melihat betapa kebencian pihak tertentu ke atas penganut agama Islam.

“Maka kita perlu pastikan ia tak berlarutan,” tegasnya.

Bekas Ahli Parlimen Tambun itu juga menjelaskan semua pihak mengharapkan kehidupan yang aman dan kebersamaan.

Pun begitu, katanya, apa jua usaha yang diambil dalam isu kekejaman di Palestin akan mengambil masa.

“Saya faham apa juga usaha yang kita inisiatifkan tidak dapat kejayaan serta merta maka tidak boleh berputus asa dan ia perlu diteruskan dan ingatlah bahawa apa yang sedang berlaku di Palestin adalah perjuangan yang panjang sejak sebelum kelahiran kita, jangan berputus asa kerana rakyat di Palestin perlukan sokongan kita semua di sini.

“Saya yakin tentangan dan bantahan berterusan mampu menghentikan kuasa besar yang dokong kejahilan Israel. Majoriti rakyat bukan beragama Islam juga contoh di London ratusan ribu manusia keluar menunjukkan kebencian ke atas kekejaman Israel.

“Alhamdulillah, malam ini di sini bukan sahaja peserta beragama Islam, yang bukan beragama Islam pun hadir menyatakan solidariti masing-masing dan ini petanda baik yang wajar diteruskan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top