Kota Bharu: Kebakaran hutan seluas kira-kira empat hektar yang berlaku di Kampung Lati di sini berjaya dikawal oleh pihak bomba tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa pada petang tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong Azhar Mohamed berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.20 petang sebelum anggotanya tiba di lokasi kejadian dengan bantuan lori tangki air dari BBP Rantau Panjang.
“Sebanyak lapan anggota terlibat dalam operasi pemadaman, dengan enam anggota dari BBP Tunjong dan dua dari Rantau Panjang. Kebakaran berjaya dikawal kira-kira 5 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8 malam tadi,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Beliau berkata kebakaran tersebut melibatkan kawasan hutan dan semak samun, namun tindakan pantas anggota bomba berjaya mengelakkan api daripada merebak ke kawasan penempatan penduduk berhampiran.
“Pihak bomba berjaya menyelamatkan beberapa buah rumah penduduk yang berada berhampiran dengan lokasi kebakaran daripada turut terjejas.
“Punca kejadian masih dalam siasatan, keadaan cuaca panas dan kering dipercayai menjadi faktor api marak dengan cepat,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka kerana cuaca panas boleh meningkatkan risiko kebakaran, khususnya di kawasan hutan dan ladang.
© New Straits Times Press (M) Bhd






