Tinggal lebih masa 34 hari, lelaki warga China ditahan

Tinggal lebih masa 34 hari,  lelaki warga China ditahan


mhafis@mediprima.com.my

Kuala Lumpur: Cubaan lelaki warganegara China keluar dari negara ini ke Thailand selepas tinggal lebih masa gagal apabila ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, kelmarin.

Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan jam 1 tengah hari semasa pemeriksaan dokumen rutin.

“Pemeriksaan imigresen terhadap pasport suspek menunjukkan kemasukan terakhirnya ke Malaysia direkodkan pada 30 Mei lalu di Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, Johor.

“Endosmen Pas Lawatan Sosialnya didapati tamat tempoh dan tiada endosmen keluar dari Thailand dan menandakan dia kekal berada di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan selama 34 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“AKPS menasihatkan orang ramai, terutamanya warga asing yang berada di Malaysia untuk sentiasa peka dengan tarikh luput pas mereka.

“Tindakan sewajarnya perlu diambil untuk melanjutkan pas atau meninggalkan negara sebelum tempoh berakhir bagi mengelakkan sebarang tindakan undang undang,” katanya.

Katanya, penangkapan ini menyerlahkan usaha berterusan AKPS untuk memastikan peraturan Imigresen dan keselamatan sempadan terus dipelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top