najiy.jefri@hmetro.com.my
Shah Alam: Kehangatan Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) semakin dirasai apabila hanya lima peserta yang berjaya menempah tiket ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung Ahad depan.
Mereka yang berjaya ialah Zazleen, Jimi, Kai Deva, Marygrace dan Mariam sekali gus bakal membawakan lagu bertemakan Melodi Cinta Kita.
Sementara itu, Eylia Guntabid terpaksa menerima hakikat apabila langkahnya terhenti di peringkat suku akhir yang berlangsung di Studio TV3, Glenmarie, malam tadi.
Persembahan Eylia yang berduet bersama Khai Bahar ketika menyampaikan lagu Dua Insan Bercinta dilihat kurang memikat hati juri tetap, Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain, Cakra Khan, serta juri jemputan, Alif Satar, selain tidak mendapat sokongan undian penonton yang mencukupi.
Untuk rekod, setiap minggu peserta dinilai berdasarkan 60 peratus markah daripada juri dan 40 peratus lagi bergantung pada undian penonton.
Konsert minggu kelima CSOIAM malam tadi menyaksikan Alif Satar & The Locos membuka tirai persembahan dengan menyampaikan lagu popular Anugerah Terindah dan Inikan Cinta.
Selain itu, keenam-enam peserta memulakan acara dengan menghiburkan penonton menerusi persembahan lagu Bollywood seperti Aankhein Khuli dan Koi Mil Gaya.
Penonton juga dihiburkan dengan persembahan Stacy Anam yang menyampaikan lagu Pakai Buang dan Menyala.
Program realiti nyanyian yang mencipta fenomena sejak 2006 itu kembali bersiaran di TV3 bermula malam ini hingga 9 Februari tahun depan dengan format baharu.
Haniff Hamzah dan Fiza Frizzy bertindak sebagai pengacara bagi mengendalikan siaran langsung program yang bersiaran selama lapan minggu.
Juara CSOIAM akan membawa pulang hadiah wang tunai RM500,000, sebuah kereta bernilai RM200,000, serta kontrak rakaman eksklusif bersama Alternate Records & Talents selama dua tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd