mohamadridzuan@hmetro.com.my
WADA Syuhada atau nama sebenarnya, Wan Syuhada Md Amin, 28, bukan nama asing dalam bidang nyanyian tanah air.
Wada pada zaman kanak-kanaknya pernah memenangi gelaran Juara Idola Kecil 2008 (TV9). Dia juga pernah menyertai Dangdut Academy Asia di Indosiar, mewakili Malaysia pada 2015.
Selepas lapan tahun menyepikan diri, Wada kini kembali menerusi single terbarunya berjudul Tinta Senja ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen.
Menurutnya, Tinta Senja mengetengahkan tema perpisahan dan kerinduan yang mendalam terhadap seseorang dan dalam konteks dirinya, ditujukan terhadap arwah bapanya.
“Saya akui lagu ini disampaikan dengan penuh penghayatan dan emosi. Proses rakamannya cukup mencabar kerana mengimbau kenangan bersama arwah bapa.
“Jadi, saya buat yang terbaik supaya lagu ini sampai kepada pendengar. Tunjuk ajar daripada komposer lagu ini banyak membantu saya dalam studio.
“Saya harap lagu ini diterima pendengar, sekali gus mengembalikan nama saya dalam industri nyanyian,” katanya.
Wada pernah tampil dengan single Tanpa Kamu pada 2015 dan terus mengukuhkan kedudukan dalam industri muzik dengan lagu seperti Bukan Dia, Tak Kena serta Semesta yang melonjakkan namanya ke peringkat lebih tinggi.
Penyertaannya dalam program realiti Dangdut Academy Asia di Jakarta, menyerlahkan bakatnya apabila mara ke peringkat Top 8, sekali gus mengharumkan nama negara.
Dia turut diberi penghormatan menyanyi dalam Konsert Tribute Pak Ngah bertujuan menghargai jasa komposer legenda terbabit yang bernama sebenar, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain.
“Saya tetap dengan semangat dan dedikasi yang tinggi untuk mencipta kejayaan dalam seni. Saya nak buktikan saya penghibur berbakat besar dan tak pernah putus asa dalam memperjuangkan seni suara tanah air.
“Semoga peminat dapat menghayati keikhlasan serta kelunakan vokal saya, sekali gus menyuntik jiwa mereka, menjadikan lagu ini lebih menyentuh dan bermakna,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd