Melbourne: Ahli perniagaan kelahiran Malaysia terlepas hukuman penjara atas tuduhan membantu mengatur pembayaran tidak sah bernilai $3.4 juta (RM9.5 juta) kepada perantara Malaysia dalam penjualan hartanah dikaitkan dengan MARA.
Boon ‘Dennis’ Teen, 72, hadir di Mahkamah Majistret Melbourne semalam, ketika Hakim Michael O’Connell mendapati ciri unik kes itu dan keadaan kesihatan Teen yang membenarkan hukuman tanpa tahanan.
Teen dijatuhi hukuman penjara 21 bulan yang digantung sepenuhnya selama 21 bulan atas satu pertuduhan perakaunan palsu, menurut laporan news.com.au.
Hakim memberi amaran Teen boleh dipenjara jika melakukan apa-apa kesalahan lagi dalam tempoh 21 bulan itu.
Terdahulu, mahkamah diberitahu Teen bekerjasama dengan kenalan untuk membeli tanah dan membangunkan asrama pelajar di Caulfied, pinggir bandar Melbourne pada akhir 2000.
Namun projek itu mengalami masalah kewangan dan selepas berbulan cuba membiayai semula, Teen mula mencari pihak yang berminat membeli projek terbabit.
Pada Oktober 2012, badan berkanun kerajaan Malaysia, MARA bersetuju untuk membeli projek pembangunan itu pada harga $17,850,000 (RM50.2 juta).
Teen bagaimanapun digantung orang tengah yang berunding bagi pihak MARA selama berbulan, sebelum pada Februari tahun berikutnya, mereka memaklumkan terdapat ‘perjanjian dalaman’ untuk membeli hartanah itu pada harga $22,600,000 (RM63.5 juta).
Kenaikan harga $4.75 juta pula perlu dibayar oleh Teen kepada perantara itu.
Selepas rundingan hartanah dicapai pada Mac 2013, Teen didakwa membantu orang tengah itu untuk memalsukan invois bagi menjadikannya bayaran yang kelihatan seperti urus niaga sah dan boleh ditolak cukai.
Hakim O’Connell berkata, $3.4 juta daripada wang yang dibayar, atau tiga daripada empat invois, tidak mempunyai asas yang sah dan merupakan ‘sogokan’ untuk memastikan perjanjian itu berjaya.
“Awak atau syarikat awak tidak menerima apa-apa faedah daripada jumlah dinaikkan, yang dibayar oleh kerajaan Malaysia.
“Ini bukan jenayah tanpa mangsa, (tetapi) rakyat Malaysia kerugian $3.4 juta,” kata hakim yang dilapor news.com.au.
Menurut Hakim O’Connell, pasukan pembelaan berjaya membuktikan Teen diberikan perjanjian palsu ketika dia dalam keadaan ‘terdedah’, dengan perniagaannya berdepan masalah aliran tunai dan pelbagai masalah lain.
Turut dikemukakan kepada mahkamah 10 rujukan peribadi yang menggambarkan Teen sebagai pemimpin masyarakat, rajin dan pemurah.
© New Straits Times Press (M) Bhd