Tiru suara artis promosi judi online

Tiru suara artis promosi judi online


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sindiket perjudian dikesan meniru suara dan wajah selebriti terkenal bagi mempromosikan aplikasi permainan judi dalam talian demi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Taktik terkini menggunakan penyebaran video dan imej palsu atau ‘deepfake’ yang dijana menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) itu dipercayai berjaya memperdayakan orang ramai.

Pengacara dan usahawan popular Neelofa turut terkena tempias daripada penyalahgunaan teknologi yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu.

Neelofa atau nama sebenar, Noor Neelofa Mohd Noor, 36, berkata, dia terkejut apabila mengetahui terdapat pihak mengambil kesempatan menghasilkan video palsu dirinya mempromosikan judi dalam talian yang jelas berniat jahat untuk memperdayakan masyarakat.

“Setakat ini saya tidak terima aduan (mangsa ditipu sindiket judi) mengenai perkara itu. Cuma sebelum ini ada terima aduan mengenai tindakan pihak mempromosikan produk pakaian dalam yang menggunakan video dan suara saya tapi ucapan (iklan produk itu) bukan daripada saya.

“Ada beberapa orang yang bertanya kepada saya mengenai produk itu dan saya beritahu jangan percaya kerana ia video palsu,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Mengulas lanjut, Neelofa berkata, mahu atau tidak, dia perlu menerima hakikat bahawa ia cabaran yang perlu dihadapinya pada zaman teknologi kini.

Katanya, dia tidak menafikan ‘scammer’ atau sindiket penipuan akan mengambil kesempatan ke atas peluang yang boleh memberi keuntungan kepada mereka.

“Ia (penipuan) lebih mudah berlaku dengan adanya AI dan sudah tentu selebriti dijadikan umpan kerana orang suka melihat video dan ‘content’ (kandungan) artis,” katanya.

Malah, katanya, tindakan sindiket terbabit memberi impak dan pandangan negatif masyarakat terhadapnya yang mempunyai imej baik selain isteri kepada pendakwah selebriti PU Riz.

Namun ibu kepada dua anak itu yakin masyarakat kini sudah memahami dan terdedah kepada teknologi AI sekali gus dapat menilai yang asli atau palsu.

Beliau menasihati masyarakat supaya tidak terus terpedaya dengan sebarang bentuk promosi di media sosial sebaliknya mengambil sedikit masa untuk membuat pemerhatian dan semakan terlebih dahulu.

Sementara itu, pengacara popular Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali Pak Nil turut menjadi mangsa apabila video dan suaranya digunakan sindiket penipuan termasuk judi dalam talian.

Beliau menerima banyak aduan dan pertanyaan daripada orang ramai mengenai kesahihan beberapa videonya mempromosikan aktiviti perjudian dan perkhidmatan lain.

“Sudah banyak Pak Nil dimaklumkan mengenai perkara ini, ada yang menjual barang dan perkhidmatan bukan-bukan. Lebih hebat lagi yang cuplik suara dan buat video menggunakan AI untuk tujuan sama.

“Antara kes Pak Nil terima aduan adalah penipuan penjualan sarung kaki kesihatan di laman sosial FB (Facebook) yang menyunting gambar Pak Nil memegang produk berkenaan. Mangsa mengadu produk yang dibeli tidak berfungsi seperti diiklankan,” katanya.

Mengulas lanjut, Aznil berkata, meskipun laporan sudah dibuat kepada pihak pengendali laman sosial selepas menerima aduan daripada pengikutnya namun kes penipuan menggunakan gambar dan videonya masih berlaku.

Katanya, beliau bimbang dan kecewa kerana kegiatan sindiket yang menggunakan ‘deepfake’ semakin berleluasa dan gagal dibanteras sehingga kini.

“Pak Nil sedih dan hilang semangat apabila perkara seperti ini berterusan. Tapi Pak Nil yakin orang ramai tahu menilai dan berharap tiada individu yang terpengaruh,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyarankan individu yang menjadi mangsa penipuan supaya membuat laporan polis selain menasihati orang ramai yang berhadapan perkara berkenaan lebih berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top