Titah Adendum: Menteri Umno sedia beri keterangan di mahkamah jika diperlukan

Titah Adendum: Menteri Umno sedia beri keterangan di mahkamah jika diperlukan



ilahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

Kuala Lumpur: Semua Menteri Kabinet daripada Umno bersedia memberi keterangan di Mahkamah Tinggi dalam prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang berlangsung malam tadi.

Katanya, kesediaan memberi keterangan itu jika diperlukan dan dalam masa sama, Umno akan terus memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri itu.

Menurutnya, ia selaras dengan kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Umno selaku satu-satunya parti yang termaktub di dalam Perlembagaan partinya untuk mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu akan sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui media selepas mesyuarat berkenaan.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, Umno yakin Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil untuk menilai keabsahan kewujudan Titah Adendum.

Selain Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, kabinet Kerajaan Madani juga diwakili Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan selaku menjadi Menteri Luar dan Naib Presiden Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

Seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula di Kementerian Pertahanan dan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Noraini Ahmad dan empat lagi yang Ahli Majlis Kerja Tertinggi Datuk Seri Ahmad Maslan; Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Datuk Mohamad Alamin dan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah masing-masing menjawat timbalan menteri.

Isnin lalu, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari tahun lalu.

Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Melalui penghakiman majoriti 2-1 yang dibacakan Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, menyatakan bahawa mahkamah tidak boleh mengabaikan fakta dan bukti yang dikemukakan oleh perayu (Najib) dalam kes berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top