Titah Tengku Hassanal cerminan keprihatinan pembangunan, kesejahteraan rakyat

Titah Tengku Hassanal cerminan keprihatinan pembangunan, kesejahteraan rakyat


KUANTAN: Kerajaan negeri menyatakan sokongan penuh terhadap titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berhubung hak dan kepentingan negeri termasuk isu eksport pasir sungai yang dibangkitkan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15, hari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya menjunjung kasih atas titah baginda yang disifatkan mencerminkan keprihatinan terhadap pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat negeri itu.

Kata beliau, kerajaan negeri turut menyokong penuh titah Tengku Hassanal supaya isu eksport pasir sungai diteliti secara menyeluruh oleh Kerajaan Persekutuan.

Katanya, perkara itu bukan sahaja mampu meningkatkan hasil negeri, malah penting dalam aspek pengurusan sungai dan pengurangan risiko banjir.

“Kerajaan Negeri Pahang menyokong penuh titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku agar isu eksport pasir sungai perlu diteliti secara menyeluruh oleh Kerajaan Persekutuan.

“Ini kerana ia bukan sahaja mampu menambah hasil negeri, malah penting bagi pengurusan sungai dan pengurangan risiko banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan meneliti segala perkara yang dibangkitkan bagi memastikan hak dan kepentingan Pahang terus terpelihara. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top