KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama menyahut seruan dalam melaksanakan gaji minimum RM1,700.
Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat khas kepada warga kerja TNB sempena sambutan Ulang Tahun ke-75 syarikat tenaga itu di sini hari ini.
Selain melaksanakan gaji minimum, pengurusan TNB juga bersetuju untuk menaikan gaji keseluruhan kakitangannya.
“Saya ucap terima kasih kepada pengurusan TNB kerana bersetuju untuk menjadi GLC pertama yang menyahut seruan kerajaan untuk menaikkan kadar gaji minimum kemudian meluluskan kenaikan gaji dan pendapatan seluruh warga TNB,” katanya di Pusat Konvensyen Leo Moggie di ibu pejabat TNB di sini hari ini.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 lalu, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa mulai 1 Februari tahun depan.
Sementara itu, Anwar mengingatkan TNB bahawa syarikat tenaga itu turut memainkan peranan penting ketika Malaysia mengalas tanggungjawab Kepengerusian ASEAN 2025 tahun depan.
Jelas beliau, TNB akan berhadapan cabaran bagi menjayakan Grid Kuasa ASEAN yang merupakan inisiatif serantau.
“Untuk memastikan Grid ASEAN dari Paka, Pasir Gudang diperkuat dengan fasiliti baharu sama ada dari Sarawak ke Johor, sama ada dari Laos ke Singapura melalui Semenanjung Malaysia. Ini adalah grid nasional dan grid ASEAN.
“Ini adalah cabaran besar kerana jumlah pelaburan bernilai puluh bilion ringgit dan saya percaya TNB sedang merangka pelan itu dan memikir bagaimana untuk menjayakannya.
“Kerajaan sedar bahawa pelaburan ini begitu besar dan sedang memikirkan cara-cara supaya TNB bersama dengan korporat lain menjayakan grid ASEAN ini,” katanya.
Malaysia yang akan menjadi tuan rumah ASEAN pada 2025 komited untuk memastikan inisiatif strategik Grid Kuasa ASEAN dapat dimeterai tahun depan bagi manfaat serantau.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.- MalaysiaGazette