TNB lancar Rangka Kerja Kewangan Peralihan pertama

TNB lancar Rangka Kerja Kewangan Peralihan pertama


PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melancarkan Rangka Kerja Kewangan Peralihan sulungnya, menjadikannya pemain utiliti elektrik pertama di ASEAN yang berbuat demikian.

Menurut kenyataannya, Maybank Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat rangka kerja kelestarian untuk pembangunan rangka kerja, yang telah memperoleh pendapat pihak kedua oleh Morningstar Sustainalytics.

Katanya, rangka kerja adalah satu set garis panduan untuk mengukuhkan hubungan antara pembiayaan TNB dan strategi peralihan tenaga dengan menggariskan kriteria untuk projek sedia ada atau baharu yang menyumbang kepada peralihan ini.

Jelasnya, ini termasuklah dengan mematuhi amalan terbaik pasaran yang berkaitan seperti Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Lestari Versi 2 dan Panduan Kewangan Peralihan ASEAN.

“Di bawah Rangka Kerja Kewangan Peralihan ini, TNB dapat mengeluarkan instrumen hutang hijau, sosial dan/atau kemampanan berlabel.

“Ini termasuk Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) serta instrumen hutang berlabel peralihan untuk membiayai projek yang akan memberikan kesan yang positif kepada masyarakat dan alam sekitar,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB berbesar hati menjadi pemain utiliti elektrik pertama di ASEAN yang mewujudkan Rangka Kerja Kewangan Peralihan.

Katanya, pihaknya berbangga dengan penglibatan dengan Maybank dalam membangunkan Rangka Kerja Kewangan Peralihan TNB yang akan memacu inisiatif peralihan tenaganya dan mempercepatkan program peralihan tenaga negara.

“Rangka Kerja ini berfungsi sebagai panduan untuk pelaburan kami dalam aktiviti pengurangan pelepasan dan merupakan langkah proaktif dalam perjalanan peralihan tenaga kami.

“Berpandukan strategi Mengimaginasi Semula TNB dan Pelan Peralihan Tenaga, pencapaian ini menekankan lagi komitmen kami untuk beralih ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan dan berdaya tahan selaras dengan objektif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) Malaysia,” ujarnya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top