KANGAR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkukuh komitmen sosialnya di negeri ini melalui penyaluran Zakat Perniagaan Tahun Kewangan 2024 berjumlah RM1 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Ir. Mahathir Nor Ismail berkata, penyaluran zakat itu mencerminkan kesinambungan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam menyantuni golongan asnaf serta menyokong agenda pembangunan sosial negeri secara mampan dan berkesan.
“Penyaluran zakat ini juga adalah manifestasi komitmen berterusan TNB terhadap umat di Perlis,” katanya selepas mempersembahkan maklumat itu kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersempena Program Berkayak anjuran TNB Perlis dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri di Kampung Wai, Kuala Perlis.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Program itu turut diserikan dengan penyampaian bantuan kepada 80 penerima asnaf terpilih, selain sumbangan RM2,000 kepada Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq oleh TNB.
Menerusi program sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan bagi menyempurnakan simbolik pelepasan ikan tilapia.
Ujar Mahathir, TNB turut melaksanakan pelbagai inisiatif kemasyarakatan termasuk pelaksanaan Program Baiti Jannati (PBJ) dan Projek Mesra Rakyat (PMR) yang merupakan kesinambungan projek rakyat sebagai mana dilaksanakan pada tahun-tahun sebelum ini.
Beliau berkata, TNB turut melaksanakan Program PINTAR di negeri ini melalui SK Kampong Serdang, Simpang Ampat, yang menjadi sekolah angkat untuk tempoh 2025–2027. -UTUSAN





