Tok Gajah mampu bangkit lebih kuat

Tok Gajah mampu bangkit lebih kuat


Zarif Irfan berharap Tok Gajah kekal bersaing dalam Liga Super musim 2025/2026. Foto Sri Pahang FC

PENJAGA gol utama Sri Pahang FC musim lalu, Muhammad Zarif Irfan Hashimudin menyuarakan harapan agar Tok Gajah kekal bersaing dalam Liga Super musim 2025/2026.

Zarif Irfan, yang menjadi watak penting dalam skuad Pahang ketika perlawanan akhir Piala Malaysia pada April lalu, menegaskan bahawa kelab itu tidak wajar disingkirkan daripada pentas utama bola sepak tanah air.

“Saya sangat berharap pasukan kami dapat kekal beraksi dalam Liga Super agar sejarah dan nama besar bola sepak Pahang tidak dilupakan begitu sahaja,” katanya ketika ditemui.

Beliau turut menyatakan bahawa kekuatan Pahang tidak hanya bergantung kepada nama semata-mata, sebaliknya bertunjangkan semangat sepasukan yang utuh tanpa mengira usia atau pengalaman.

“Kami umpama sebuah keluarga – bangkit, jatuh, dan berjuang bersama. Tiada jurang antara pemain muda dan berpengalaman. Itulah yang menjadi nadi kekuatan kami,” ujarnya.

Nada sama turut diluahkan oleh R Gopinathan, atau lebih dikenali sebagai Muhammad Gopi Rizki, yang merupakan antara tonggak kejayaan skuad Pahang menjuarai Piala Malaysia 2014.

Sebagai anak jati negeri ini, beliau percaya Tok Gajah masih memiliki kekuatan asas untuk terus bersaing, dengan sokongan penyokong setia, barisan kejurulatihan berpengalaman serta gabungan pemain muda dan senior.

“Saya berharap pasukan ini dapat bangkit lebih kuat dan menjadi pencabar utama liga. Dalam masa yang sama, saya juga ingin melihat lebih ramai pemain muda diberi peluang untuk menyerlah,” katanya.

Gopinathan turut menyatakan bahawa Pahang bukan sekadar sebuah pasukan bola sepak, malah menjadi sebahagian daripada jati diri serta denyut nadi sukan di Pantai Timur.

Badan Bebas First Instance Body (FIB) sebelum ini telah meluluskan permohonan Lesen Kebangsaan Pahang bagi musim 2025/2026, sekali gus membuka laluan untuk kelab tersebut meneruskan penyertaan dalam saingan Liga Super.



Source link

OR

Scroll to Top