PENYOKONG setia Sri Pahang FC meluahkan rasa kecewa berikutan laporan mengenai kemungkinan Tok Gajah tidak akan menyertai Liga Super musim depan.
Muhammad Saifullah Suhaimi, bukan sekadar penyokong, malah seorang anak jati Pahang, menyuarakan kerinduan yang mendalam andai Tok Gajah benar-benar hilang dari peta Liga Super.
Baginya, skuad Hitam Putih itu bukan sekadar 11 pemain di padang, tetapi simbol maruah serta semangat juang seluruh rakyat Pahang.
“Sebagai penyokong setia, hati kami menjerit menolak kemungkinan pasukan Pahang tidak beraksi musim depan. Mereka wajib ada, untuk terus menyaingi gergasi seperti JDT. Kekuatan lawan kami akui, namun semangat juang tidak pernah padam,” ujar Saifullah.
Media sebelum ini melaporkan kelab pantai timur itu berkemungkinan tidak akan menyertai saingan Liga Malaysia 2025-2026 berikutan kekangan kewangan.
Sebagai rekod, Pahang kendalian Fandi Ahmad mengakhiri saingan Liga Super di tangga kelapan Liga Super dengan mengumpul 29 mata – tujuh menang, lapan seri, sembilan tewas – hasil dari 24 perlawanan.
Saingan Piala FA pula cabaran Tok Gajah terhenti dalam pusingan 16 selepas tewas penentuan sepakan penalti 3-4 kepada Penang FC selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa tambahan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.
Kempen Piala Malaysia pula, Tok Gajah mara ke final sebelum impian mengakhiri kemarau disekat Johor Darul Ta’zim (JDT), 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sementara itu, Saifullah menambah, Tok Gajah sentiasa menjadi warna dalam liga, membuktikan semangat mengatasi segalanya walau sumber kewangan terbatas.
Sokongan padu penyokong setia, katanya, adalah ‘kekayaan’ sebenar kelab berpangkalan di Kuantan berkenaan.
“Kini, kami hanya mampu menanti ‘penyelamat’ baharu. Situasi Pahang unik, namun kami percaya, ini belum pengakhiran. Masih ramai yang sayang, yang setia untuk terus bersama.
“Andai Pahang membuat pusingan-U dan terus beraksi, sokongan kami tidak akan pernah pudar. Tanpa bola sepak Tok Gajah, hidup kami di Pahang akan terasa sunyi dan kehilangan semangat,” katanya juga antara suara ribuan penyokong yang masih menaruh harapan penampilan Tok Gajah pada musim 2025-2026.
Sementara itu, First Instance Body (FIB) memaklumkan proses penelitian dokumen permohonan Lesen Kebangsaan bagi aksi Liga Super 2025-2026 oleh semua kelab masih giat dijalankan badan bebas tersebut.
Malah, Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, menjelaskan bahawa jawatankuasanya memerlukan masa tambahan untuk meneliti secara saksama jumlah dokumen dan kemasukan yang besar daripada kelab-kelab Liga Super dan Liga A1 Semi-Pro.
“Sebanyak 387 dokumen dan kemasukan daripada setiap kelab Liga Super serta 98 dokumen dan kemasukan daripada kelab Liga A1 Semi-Pro yang dimuat naik sebelum tarikh tutup pada 10 Mei lalu kini sedang melalui proses semakan yang teliti,” katanya pada Jumaat.
Tambah beliau, dokumen dan kemasukan tersebut meliputi pelbagai kriteria penting termasuk Kewangan, Perniagaan, Kakitangan & Pentadbiran, Perundangan, Sukan, dan Infrastruktur, yang telah dimuat naik oleh setiap kelab ke dalam Sistem Pelesenan AFC CLAS.
“Setelah proses semakan rapi ke atas semua dokumen ini selesai, FIB akan mengeluarkan pengumuman rasmi mengenai keputusan permohonan Lesen Kebangsaan musim 2025-2026,” ujarnya.
FIB sebelum ini mengesahkan semua 13 kelab Liga Super dan dua kelab Liga A1 Semi-Pro, Melaka FC dan Imigresen FC telah mengemukakan permohonan masing-masing.