Operasi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia mungkin dikaji semula sekiranya badan antarabangsa itu terus mengeluarkan kad pelarian tanpa kerjasama yang jelas dengan kerajaan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan bagi memastikan urusan saringan pelarian dilaksanakan secara lebih ketat, sekali gus mengelakkan Malaysia terus menanggung beban akibat kelemahan dalam proses berkenaan.
“Kalau mereka tidak mahu bekerjasama, sudah sampai masanya kita mempertimbangkan semula keberadaan UNHCR di dalam negara kita. Itu pandangan saya, supaya kita tidak terus terbeban.
“Ini menjadi satu magnet kepada pelarian untuk datang ke Malaysia kerana adanya pejabat UNHCR dan boleh memberikan kad dengan sewenang-wenangnya. Itu perlu kita urus dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau proses pengundian awal di Pangkalan Udara Sendayan, Seremban, hari ini.
Mohamad berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang mengambil langkah bagi memastikan setiap individu menjalani saringan menyeluruh sebelum sebarang kad UNHCR dikeluarkan.
Katanya, proses itu perlu mendapat persetujuan KDN bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak diberikan pengiktirafan sebagai pelarian.
Menurut beliau, Malaysia juga memerlukan satu perjanjian yang jelas dengan UNHCR bagi menetapkan bidang kuasa, tanggungjawab serta perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan badan antarabangsa itu ketika beroperasi di negara ini.
“Kita mesti ada perjanjian antarabangsa supaya mereka boleh buat apa ataupun mereka tidak boleh buat itu dan ini.
“Tetapi nampaknya sekarang tidak ada apa-apa, tidak ada prosedur operasi standard (SOP).” tegasnya.
Mohamad berkata, antara perkara yang membimbangkan ialah dakwaan bahawa permohonan kad UNHCR boleh dibuat secara dalam talian ketika pemohon masih berada di Myanmar sebelum mereka memasuki Malaysia.
“Mereka buat permohonan dalam talian ketika berada di Myanmar, kemudian datang ke sini dan terus mengambil kad.
“Ini bermakna saringan kita tidak ada. Ini yang perlu kita uruskan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan perlu mencari keseimbangan antara tanggungjawab kemanusiaan dan kepentingan menjaga keselamatan negara agar sikap prihatin terhadap pelarian tidak akhirnya mengundang risiko kepada ketenteraman awam.
“Kita perlu menjaga keselamatan dan ketenteraman dalam negara. Kita tidak mahu kerana baik hati kita, ia akhirnya menjadi masalah kepada ketenteraman dan keselamatan negara,” katanya.






