Tokoh wartawan Utusan, Rosnah Majid meninggal dunia

Tokoh wartawan Utusan, Rosnah Majid meninggal dunia


PETALING JAYA: Bekas wartawan Utusan Malaysia dan ahli politik, Datuk Rosnah Majid meninggal dunia di Pulau Pinang hari ini.

Berita pemergian penerima pertama Hadiah Kajai itu dimaklumkan oleh kakak Allahyarham, Meriyam Majid yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Difahamkan tokoh wartawan itu meninggal dunia setelah dikatakan terjatuh di dalam bilik air. 

Dalam pada itu, jenazah Rosnah difahamkan akan dibawa ke rumahnya di Taman Melawati, Kuala Lumpur untuk urusan pengebumian.

Selain terkenal sebagai wartawan pengalaman, Rosnah pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Dawai dan Exco Kedah.

Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat Malaysia, terutamanya dalam bidang kewartawanan dan politik yang disertai dengan penuh dedikasi.

Allahyarham dilahirkan di Kampung Sg. Pial, Merbok, Kedah. Bersekolah di SK Singkir dan SM Merbok, Kedah sebelum melanjutkan pelajaran di SM Jalan Kolam Air, (sekarang dinamakan Sekolah Menengah Puteri) Kuala Lumpur. 

Beliau seterusnya belajar di Universiti Malaya dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi.

Minat membaca dan menulis mendorong beliau bekerja sebagai wartawan selama 20 tahun (1977-1997) dengan akhbar Utusan Malaysia terbitan syarikat Utusan Melayu Berhad. 

Sewaktu di Utusan, beliau merupakan wartawan yang prolifik dengan tulisannya yang tajam meliputi bidang politik, ekonomi dan sosial.

Beliau membuat temuramah mantap dengan tokoh-tokoh politik sama ada dalam kerajaan mahupun pembangkang.

Allahyarham turut melaporkan berita dari tempat-tempat bergolak seperti konflik Iran-Iraq (1981-1984), menyaksikan doi moi di Vietnam (1988) serta kacau-bilau di Kemboja (1991-1993).

Pada 1984, beliau menjadi penerima pertama Hadiah Kajai, hadiah kewartawanan Malaysia paling tinggi, ekoran tulisannya mengenai Empangan Tembeling yang dicadangkan oleh kerajaan dibina di Taman Negara, Pahang yang akhirnya projek itu dibatalkan.

Sewaktu berkhidmat di Utusan, beliau dianugerahkan Fellow Journalist en Europe yang membolehkan beliau belajar kewartawanan di Centre pour Journalisme di Paris, Perancis (1985-1986). 

Kemudiannya beliau dianugerahkan Nieman Fellowship, fellowship paling berprestij di dunia dalam bidang kewartawanan yang membolehkan beliau melanjutkan pelanjaran di Universiti Harvard, USA (1988-1989).

Beliau kemudian berhenti dari Utusan untuk menceburkan diri sepenuh masa dalam politik dan pada September 1995, beliau memenangi jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Merbok, Kedah. 

Selepas berkhidmat sebagai Ketua Unit Khas di ibu pejabat UMNO Kuala Lumpur mulai Januari 1999, beliau berhenti untuk bertanding dalam pilihan raya umum pada November 1999 dan memenangi kerusi kawasan DUN Tanjong Dawai, Kedah.

Pada Disember 1999, beliau dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah sekali yus menjadi wanita pertama di negeri itu yang dilantik ke jawatan Exco. 

Bagaimanapun beliau tidak berminat untuk terus berada dalam politik dan seterusnya melibatkan diri dalam dunia perniagaan.

Menyertai firma perunding perniagaan EBM yang berpangkalan di Fort Lauderdale, Florida selama 2 tahun, beliau memutuskan untuk menubuhkan firma perunding sendiri, Ramwell Sdn. Bhd. (Ramwell) pada 2007, yang memberi tumpuan dalam hal ehwal kerajaan, perancangan strategik, dan komunikasi strategik.

Kemampuan Rosnah dalam memahami politik, ekonomi, media, dan komuniti NGO di Malaysia telah menarik perhatian firma penasihat berpangkalan di Washington, BrooksBowerAsia, yang melantik beliau sebagai Pengarah Negara untuk Malaysia dari tahun 2008 hingga 2010.

Beliau kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Ramwell dan hasil jaringan luas dimilikinya bukan sahaja di Malaysia, malah ke rantau ASEAN. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top