Pelakon, Riena Diana berkongsi perasaan teruja apabila drama lakonannya, Toksik Cinta mendapat sambutan hangat sehingga meraih tontonan tertinggi di platform Tonton.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), pemilik nama lengkap Nur Qamarina Diana Zulreal, 28, memuat naik foto tangkapan skrin perbualan mesej bersama pengarah dan penerbit tersohor, Erma Fatima yang dipanggil sebagai Mama.
“Celik mata tadi dapat WhatsApp dari Mama. Dapat pujian daripada Mama Erma macam ni, Ya Allah seronok, gembira tak tahu nak cakap.
“Mama cakap boleh gila semua lelaki dapat perempuan macam Karmila (watak Riena) kan, tapi tu la asyik lelaki saja gila. Kita bagi perempuan pula gila, kenapa tidak? Baru adil,” katanya.
Dalam pada itu, Riena turut meluahkan rasa terharu apabila penonton memberi respons terbaik untuk drama lakonannya yang turut dibintangi oleh kekasih hati, Keith Foo.
“Alhamdulillah, semua suka dan terima dengan baik Toksik Cinta sampai nombor satu dekat Tonton!
“Masih ada baki beberapa episod di Tonton, siapa terlepas tu masih boleh stream. Go Karmila!,” katanya lagi.
Sekadar info, drama arahan Pali Yahya dan skrip oleh Erma Fatima ini menggabungkan elemen melodrama, thriller rumah tangga dan jenayah dalam kisah penuh konflik melibatkan emosi dan permainan psikologi.
Menurut Erma, karya terbaharunya itu menggambarkan bagaimana cinta boleh bertukar menjadi racun apabila diselubungi ego, dendam dan keinginan untuk memiliki sepenuhnya.
Menampilkan barisan pelakon popular seperti Riena Diana, Aqasha, Keith Foo, Cristina Suzanne, Dayang Areeda, Ruzana Ibrahim, Tony Eusoff, Esma Daniel dan Izzue Islam, siri ini hadir dengan naratif realistik dan sarat dengan mesej sosial.
Tonton Original Series: Toksik Cinta telahpun ditayangkan bermula 27 Oktober lalu, hanya di Tonton.
Untuk perkembangan lain, ikuti @tontonmy di Facebook, X, TikTok dan Instagram untuk maklumat lanjut.
Artikel Berkaitan: Babak Atas Ranj*ng Riena Diana & Keith Foo Dalam Toksik Cinta Dikritik





