PETALING JAYA: Syarikat konsesi tol sepatutnya menyediakan lampu jalan di sepanjang lebuh raya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh membidas syarikat konsesi tol yang gagal menyediakan lampu jalan di sepanjang lebuh raya.
Menurut beliau, keadaan jalan yang gelap di lebuh raya merupakan antara faktor utama kemalangan apabila pengguna tidak dapat melihat objek yang mungkin berada di atas jalan raya.
“Kalau jalan kampung yang percuma pun ada lampu, takkan lebuh raya yang kita bayar penggunaannya tak boleh sediakan lampu di tempat yang gelap.
“Kita (pengguna) bayar, jadi kita ada hak untuk dapat perkhidmatan yang terbaik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau mengulas tragedi kemalangan maut di kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh yang mengorbankan tujuh nyawa beberapa hari lalu.
Muhamad Akmal berkata, beliau mendesak pihak terlibat supaya memberi perhatian terhadap pemasangan lampu jalan di lebuh raya kerana kemalangan di kawasan gelap sudah beberapa kali berlaku.
“Saya mohon sangatlah supaya kejadian sama tidak berlaku lagi di masa hadapan. Saya desak kerajaan Malaysia, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan juga pihak tol tolonglah tengokkan jalan-jalan lebuh raya yang gelap ini.
“Kalau jalan kampung yang tidak berbayar itu pun kita boleh letakkan lampu. Takkan tak boleh sediakan lampu jalan tempat yang gelap-gelap begini,” katanya.
Tragedi kemalangan di lebuh raya berkenaan telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna jalan raya yang berharap pihak berwajib segera mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.