FENOMENA alam merupakan salah satu tanda kekuasaan ALLAH SWT yang seringkali menimbulkan rasa kagum kepada manusia termasuk kejadian gerhana bulan yang berlaku pada tengah malam hingga awal pagi 8 September lalu.
Gerhana bulan berlaku apabila bumi berada di tengah antara bulan dan matahari sebelum bulan yang ketika itu berada dalam keadaan purnama penuh ditutupi bayang-bayang bumi.
Dari sudut sains, fenomena ini dapat dijelaskan melalui peredaran jasad-jasad di langit.
Bagaimanapun, dalam masyarakat zaman dahulu, gerhana bulan sering dikaitkan dengan unsur khurafat dan tahyul yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Pengasas Sahabat Langit Utara (Salut), Nurul Fatini Jaafar menjelaskan, pelbagai kisah tersebar dalam masyarakat sejak sekian lama berkaitan dengan fenomena alam termasuk ketika gerhana bulan dan matahari berlaku.
“Antara kisah zaman dahulu yang sering diceritakan antaranya ketika bulan gerhana penuh atau bulan bertukar menjadi merah, penduduk di kawasan tersebut wajib melakukan upacara atau ritual korban nyawa.
“Istilah bulan berdarah (blood moon) itu sendiri membawa makna darah atau nyawa perlu dikorbankan ketika itu sebelum malapetaka akan berlaku sekiranya tidak berbuat demikian,” jelasnya ketika ditemui Sinar Islam Plus.
NURUL FATINI
Beliau berkata demikian selepas program Cerapan Gerhana Bulan Penuh 2025 anjuran Salut di Kurau Inn, Kuala Kurau, Perak.
Korban nyawa ketika gerhana
Menurutnya, perkara yang disifatkan khurafat bagi agama Islam seperti itu bukan sahaja berlaku ketika gerhana bulan, ia juga kerap dikaitkan dengan gerhana matahari, penjajaran planet dan fenomena alam yang lain.
“Tidak kurang juga kisah-kisah di alam nusantara ini khususnya di Indonesia, sebahagiannya masih berpegang kuat dengan ritual dan amalan yang bertujuan untuk menolak unsur jahat ketika gerhana.
“Kisah seperti bulan ditelan raksasa juga popular dalam masyarakat. Selain itu ada juga amalan mengetuk pokok ketika gerhana berlaku.
“Menurut kepercayaan mereka, ia bertujuan untuk membuatkan pokok tidak ‘tidur’ ketika gerhana berlaku dan ‘semangat’ pokok tidak hilang hingga boleh menyebabkan pokok mengeluarkan hasil yang sedikit.
“Ada juga cerita apabila bulan merah itu bertukar menjadi kuning, mereka mentafsirkan bahawa bulan tersebut sedang sakit,” hurainya.
Penjelasan berterusan hilangkan kisah tahyul
Bagaimanapun ujarnya, dengan tersebarnya ajaran agama Islam yang betul dalam masyarakat serta peningkatan kefahaman melalui ilmu sains menyebabkan pelbagai kisah dongeng tersebut mula ditinggalkan.

SEBAHAGIAN peserta mencerap bulan dalam program Cerapan Gerhana Bulan Penuh 2025 anjuran Salut di Kurau Inn, Kuala Kurau, Perak baru-baru ini.
“Antara satu kejayaan juga apabila masyarakat mula meninggalkan kisah-kisah dongeng dan khurafat ini. Ini menunjukkan usaha pelbagai pihak untuk menghapuskan perbuatan khurafat membuahkan hasil.
“Pada tahun ini, saya tidak mendengar kisah-kisah pelik ditularkan dalam masyarakat selain ilmu berkaitan falak atau astronomi ini dijelaskan melalui saintifik selain para ustaz mengajarkan mengenai hikmah di sebalik fenomena ini dan kebesaran ALLAH SWT,” ujarnya.
Katanya, media juga memainkan peranan dalam menyebarkan ilmu yang betul kepada masyarakat dan bukannya menjadikan kisah dongeng tersebut sebagai bahan yang mistik dan misteri untuk bacaan masyarakat.
Ibu bapa turut memainkan peranan dalam mendidik anak-anak dan menerangkan kepada mereka mengenai fenomena gerhana menurut ilmu sains, falak dan ajaran Islam.
“Salut sendiri sering turun ke lapangan bersama dengan masyarakat memberi penerangan kepada orang ramai mengenai fenomena alam ini.
“Kita mahukan masyarakat didedahkan dengan ilmu falak ini yang cukup luas sebenarnya dalam kehidupan seharian kita,” katanya.
Falak dalam kehidupan seharian
Sebagai contoh yang paling mudah jelasnya, dalam Rukun Islam sendiri ilmu falak ini merangkumi semua rukun.

DUA pelajar kagum selepas mencerap gerhana bulan penuh.
“Mengucap dua syahadah umpamanya, mengajarkan kepada kita mengenai keesaan ALLAH sebagai Tuhan yang mentadbir dan menguruskan keseluruhan alam ini.
“Penetapan waktu solat dan arah kiblat juga berkait dengan ilmu falak ini manakala puasa, zakat dan haji juga ada hubungannya,” hurainya.
Dalam program cerapan gerhana bulan penuh itu, seramai 25 orang terdiri daripada orang awam, mahasiswa dan penduduk kampung hadir menyaksikan sendiri fenomena luar biasa itu yang bermula pada 11.30 malam dan berakhir 4 pagi.
Solat sunat gerhana atau khusuf turut dilaksanakan ketika gerhana penuh berlangsung yang dipimpin Ahli Persatuan Peminat Ilmu Falak Islam Perak, Ustaz Ahmad Humaizi Abdul Wahab yang kemudiannya menyampaikan khutbah gerhana kepada peserta.