Tolak tepi penat demi lencana di dada

Tolak tepi penat demi lencana di dada


Pemain KL City akan berdepan Selangor dalam Derbi Lembah Klang Liga Super di Petaling Jaya pada Ahad. Foto Kuala Lumpur City

KENNY Palraj sanggup mengetepikan faktor keletihan dalam merealisasikan misi tiga mata Kuala Lumpur City apabila menentang Selangor FC dalam Derbi Lembah Klang Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad.

Biarpun pemain berusia 31 tahun itu mengakui The City Boys berdepan jadual padat, situasi tersebut tidak menjejaskan semangat pasukan untuk mempamerkan aksi terbaik.

“Bagi saya, jadual kami memang padat dan risau dengan keadaan pemain kerana baru sahaja balik daripada perlawanan Kejuaraan Kelab ASEAN. Namun kita sudah bersedia segalanya sebelum perlawanan itu kerana kita sedar hanya tinggal sehari untuk berlatih sebelum bertemu Selangor FC.

“Kita akan bagi yang terbaik kerana saya juga menjangkakan satu permainan terbaik daripada pasukan. Bukan hanya dengan Selangor kita mahu menang, namun semua perlawanan yang kita turun, kita inginkan kemenangan.

“Mahu atau tidak, kita kena ketepikan kepenatan untuk tempuh perlawanan ini. Mana-mana pemain akan fokus sepenuhnya terhadap perlawanan akan datang dan tidak memikirkan soal penat lelah daripada perlawanan sebelum ini, demi mendapatkan tiga mata,” kata Kenny.

City Boys bimbingan Miroslav Kuljanac sebelum ini mengharungi Kejuaraan Kelab ASEAN di Singapura yang menyaksikan mereka tewas 0-2 kepada kelab Lion City Sailors pada Khamis lalu.

Sebagai rekod, pertemuan terakhir KL City menentang Selangor berakhir dengan City Boys menundukkan The Red Giants, 1-0.

INFO

KL City kini mengumpul 17 mata berjaya diraih daripada 15 perlawanan (ditolak enam mata oleh Liga Bolasepak Malaysia), manakala Selangor dengan catatan 35 mata daripada kesemua 16 perlawanan.

JADUAL PERLAWANAN LIGA SUPER (AHAD)

Selangor FC lwn Kuala Lumpur City

(Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 5.15 petang)

Penang FC lwn Perak FC

(Stadium Bandaraya, 8.15 malam)



Source link

OR

Scroll to Top