am@hmetro.com.my
Putrajaya: Walaupun pelbagai usaha dilakukan namun masih ramai rakyat Malaysia diperdaya dan dijadikan tawanan sindiket pemerdagangan manusia di luar negara.
Susulan itu Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyerahkan 28 surat kepada Kementerian Luar berhubung isu membabitkan isu di Kemboja, Laos dan Myanmar.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, surat berkenaan ditulis ibu bapa mangsa yang memohon bantuan kerajaan bagi menyelamatkan anak-anak mereka yang diculik dan dijadikan sebagai mangsa sindiket penipuan pekerjaan.
Beliau berkata, memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Pengerusi ASEAN ketika ini, MHO menyarankan kerajaan menggunakan peluang yang ada bagi menangani isu pemerdagangan manusia membabitkan rakyat Malaysia di Asia Tenggara.
Katanya, MHO menyarankan dua cadangan iaitu ASEAN menubuhkan satu pasukan tindakan khas serantau bagi menyelaras siasatan serta berusaha menyelamat mangsa yang terperangkap di luar negara.
“MHO juga mencadangkan ASEAN memperkasa perjanjian dan protokol berkaitan pembenterasan pemerdagangan manusia termasuk memperkukuh mekanisme penguatkuasaan rentas sempadan termasuk pertukaran maklumat antara negara anggota,” katanya di luar perkarangan Kementerian Luar di sini, tadi.
Surat diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Konsular Kementerian Luar, Datuk Mohd Ali Selamat.
Hishamuddin berkata, MHO berharap Perdana Menteri dapat membantu menyelamatkan rakyat Malaysia yang ditipu sindiket dan sehingga kini masih ramai yang terperangkap, dikurung termasuk didera dan ditahan tanpa sebarang peluang untuk dibebaskan.
Katanya, beliau yakin kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN merupakan peluang berharga untuk mengangkat isu ini ke peringkat serantau sekaligus menyelamatkan rakyat Malaysia yang sudah melebihi tiga tahun terkandas dan memerlukan bantuan.
Sementara ibu saudara mangsa dikenali sebagai Lily, 41, berasal dari Puchong berkata, dia hadir menyerahkan surat mewakili anak saudara lelakinya berusia 30 tahun yang ditipu sindiket pekerjaan di Myanmar.
Menurutnya, anak saudaranya dari Sabah diculik bersama tiga rakan ketika bercuti di Thailand pada 2022 dan dibawa ke Myanmar untuk di jadikan hamba sindiket penipuan kerja.
Katanya, laporan polis sudah dibuat pada 2022 dan kehadirannya ke kementerian ini adalah kali ke dua bagi menghantar surat meminta agar anak saudara diselamatkan.
“Anak saudara ada menghubungi ibunya di Sabah minggu lalu meminta diselamatkan dan dibawa pulang ke Malaysia kerana tidak sanggup didera dan dipukul
dengan objek keras oleh pihak sindiket,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd