Tonjol Sisi Serius Dalam Lakonan, Irudhi Strike Jadi Filem Terakhir Sathiya Sebelum ‘Kehilangan’ Kaki

Tonjol Sisi Serius Dalam Lakonan, Irudhi Strike Jadi Filem Terakhir Sathiya Sebelum ‘Kehilangan’ Kaki


Filem Irudhi Strike menjadi naskhah terakhir pelawak senior, Sathiya yang menampilkan dirinya dalam keadaan sempurna sebelum kehilangan kaki kiri akibat komplikasi penyakit kencing manis pada September lalu.

Sathiya atau nama sebenarnya Sathia Periasamy, 61, menyifatkan filem itu sangat istimewa kerana penonton masih dapat melihat dirinya beraksi seperti dahulu.

“Penggambaran dibuat tahun lepas ketika saya masih sihat dan belum menjalani pembedahan. Jadi, Irudhi Strike boleh dianggap filem terakhir saya yang lengkap sebagai Sathiya yang dulu.

“Sekarang keadaan saya berbeza, jadi watak selepas ini mungkin tidak sama lagi. Penonton tidak akan nampak saya berlari atau bergerak aktif seperti dulu,” katanya.

Selepas lebih 40 tahun dalam industri dan membintangi puluhan filem, Irudhi Strike juga menjadi karya pertama yang menampilkan Sathiya sebagai pelakon utama.

Pada awalnya, dia hampir menolak tawaran tersebut kerana tidak yakin mampu membawa watak serius, namun diyakinkan oleh pengarah, T. Danesh Kumar.

“Sepanjang kerjaya, saya dikenali sebagai pelawak. Ini kali pertama saya perlu menangis dan bermain emosi. Saya risau tidak dapat buat dengan baik, tetapi pengarah banyak membimbing saya.

“Dalam filem ini, tiada unsur komedi langsung. Penonton akan lihat sisi lain diri saya yang benar-benar serius,” katanya yang berharap Irudhi Strike mendapat sokongan semua kaum.

Filem dwibahasa Tamil dan Melayu itu bakal ditayangkan pada 30 Oktober dengan barisan pelakon seperti Irfan Zaini, Ravin Rao Santheran, Jibrail Rajhula, Affie Rania, Komalaa Naaidu, Alvin Martin dan Saresh D7.

Kisahnya mengangkat watak bekas pemain bola sepak, Coach Senbagamaran (Sathiya), yang melatih sekumpulan anak muda di sebuah kampung untuk membentuk pasukan bola sepak bagi memberi harapan baharu. Namun, perjuangan mereka tergugat apabila sindiket mempergunakan golongan muda demi keuntungan, memaksa pasukan itu berjuang di mahkamah demi masa depan komuniti mereka.



Source link

OR

Scroll to Top