Suzuka: Seorang pengumpul dari Kanada, Darren Jack, menemui sebuah topi keledar milik legenda Formula Satu (F1), Ayrton Senna, yang dianggarkan bernilai sekitar AS$1 juta (RM4 juta) dan dijual di Jepun.
Tanpa berfikir panjang, Jack terus menaiki penerbangan untuk mendapatkan artifak bersejarah itu — topi keledar yang dipercayai pernah bersama Senna ketika musim terakhir perlumbaan Grand Prix F1 sebelum kemalangan tragis yang meragut nyawa pemandu Brazil itu.
Jack, yang ditemui oleh AFP di Grand Prix Jepun hujung minggu lalu, mempamerkan topi keledar berwarna kuning ikonik itu bersama beg asal bertanda “A.S.”, yang kedua-duanya milik juara dunia tiga kali itu, yang meninggal dunia pada usia 34 tahun dalam kemalangan di Litar Autodromo Enzo e Dino Ferrari pada 1 Mei 1994.
Topi keledar jenama Bell itu bukanlah yang dipakai Senna ketika perlumbaan maut itu. Namun menurut Jack, ia adalah salah satu daripada tiga atau empat topi keledar yang digunakan pada awal musim 1994 di Brazil, Jepun dan Imola.
“(Senna) sememangnya memakai topi keledar ini ketika hujung minggu perlumbaan di Brazil. Tetapi ia turut dibawa ke perlumbaan seterusnya di Pacific Grand Prix dan juga ke Imola untuk hujung minggu perlumbaan terakhir itu,” kata Jack.
“Ini satu-satunya hujung minggu perlumbaan di mana terdapat logo Senna pada topi keledar itu. Jadi ia ditambah khas untuk Imola — dan itu sangat signifikan kerana ia membuktikan ia memang berada di situ. Sukar untuk dibayangkan ia adalah sebahagian daripada sejarah hidup beliau.”
Sebagai bukti, Jack turut mengemukakan gambar dan video dari era itu, yang telah dianalisis menggunakan perisian pengecaman imej, selain surat pengesahan, nombor siri, serta dokumen daripada pengeluar Bell dan penjual di Jepun.
Jack, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat koleksi memorabilia sukan permotoran, enggan mendedahkan harga sebenar pembelian, namun menegaskan bahawa ‘jelas ia bernilai satu juta dolar’.
Walaupun telah menerima beberapa tawaran lumayan — termasuk daripada individu dalam paddock F1 di Suzuka — Jack berkata beliau tidak akan menjual topi keledar itu buat masa ini.
“Saya sangat menyukainya. Saya bangga memilikinya. Saya seorang pengumpul yang bersemangat — itulah permulaan perniagaan saya,” kata individu berusia 46 tahun itu.
“Bagi saya, ini seperti satu impian. Dan apa pula yang akan saya lakukan dengan wang itu?
“Ada seorang pelumba F1 semasa, yang tidak mahu dinamakan, yang bertanya, ‘bagaimana jika saya beri anda satu juta dolar sekarang untuk topi ini di paddock hujung minggu ini?’ Dan saya jawab, ‘tidak, bukan untuk dijual’,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






